HomeNewsBeritaBusinessLifestyleOpinionWorldSportsPropertyEducationCarzillaGalleryVideosAccelerator

‘Risiko cetus murka halang rampasan kuasa’

-

Gabungan itu akan berhati-hati berikutan kenyataan mengenai kestabilan politik oleh Sultan Johor, yang akan menjadi Yang di-Pertuan Agong seterusnya.

0
Shares
Total Views: 1
Free Malaysia Today
Istana Negara berkata, ia tidak akan melayan sebarang dakwaan berhubung Perdana Menteri, Anwar Ibrahim hilang sokongan majoriti.

PETALING JAYA:
Risiko mencetuskan kemurkaan raja akan menghalang sekumpulan Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yang dikatakan terlibat dalam komplot dengan Perikatan Nasional (PN) untuk menjatuhkan kerajaan sedia ada.

Seorang pemimpin BN yang enggan dinamakan berkata, perancang komplot itu akan berhati-hati berikutan titah Sultan Johor berhubung keperluan mengekalkan kestabilan politik.

“Ingat, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar sudah memberi amaran kerana Johor akan menjadi Yang di-Pertuan Agong seterusnya,” katanya kepada FMT.

Rabu lalu, Sultan Ibrahim bertitah “sudah-sudahlah” berikutan laporan 10 Ahli Parlimen BN berhasrat memaksa pilihan raya kecil diadakan dengan meninggalkan parti itu. Mereka semua sebelum ini menyokong Pengerusi PN, Muhyiddin Yassin selepas PRU 2022.

Ahli Majlis Tertinggi Bersatu, Faiz Na’aman mencetuskan spekulasi dengan hantaran berbunyi: “Sudah 126…jika benar, alhamdulillah.”

Sumber BN itu berkata, dakwaan 126 Ahli Parlimen menyokong pembangkang tidak berasas.

Katanya, PN juga perlu meyakinkan Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk menyokong mereka, selain BN. GPS mempunyai 23 kerusi, BN (30) dan PN (74).

Majoriti mudah 112 kerusi Dewan Rakyat diperlukan untuk membentuk kerajaan.

“Persoalannya ialah sama ada GPS akan menyokong PN adalah tanggapan yang kami rasa tidak logik. Rakyat Sarawak tidak akan bersetuju dengan GPS,” kata sumber itu sambil menambah GPS mendapat manfaat besar sejak Anwar menjadi perdana menteri.

Rabu lalu, sumber memberitahu FMT, Istana Negara tidak akan melayan sebarang dakwaan berhubung Anwar hilang sokongan majoriti di Dewan Rakyat.

Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah, sebelum ini bertitah baginda tidak berhasrat terlibat dalam politik dan menyeru ahli politik menerima keputusan PRU.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.