HomeNewsBeritaBusinessLifestyleOpinionWorldSportsPropertyEducationCarzillaGalleryVideosAccelerator

Jho Low ‘dahului’ pegawai 1MDB berkait urusan Brazen Sky, mahkamah diberitahu

-

Perbicaraan 1MDB Najib Razak mendengar bagaimana ahli perniagaan dalam buruan itu meluluskan urus niaga dan pegawai atasan 1MDB hanya melaksanakan keputusannya.

0
Shares
Total Views: 1
Free Malaysia Today
Saksi yang juga bekas pegawai bank Kevin Swampillai berkata Jho Low bertindak sebagai pengarah bayangan di Brazen Sky Ltd.

KUALA LUMPUR:
Seorang bekas pegawai bank memberitahu Mahkamah Tinggi dalam kes 1MDB Najib Razak bahawa ahli perniagaan yang diburu Low Taek Jho “mendahului” pegawai 1MDB dalam pengurusan anak syarikat luar pesisir ditubuhkan di British Virgin Islands.

Kevin Swampillai, yang bekerja untuk BSI Bank antara 2010 dan 2016, berkata beliau memerhatikan perkara itu semasa interaksinya dengan bekas ketua pegawai eksekutif 1MDB, Azmi Tahir, bekas timbalan CFO 1MDB, Geh Choh Heng, dan bekas peguam, Loo Ai Swan.

Beliau berkata, Low, juga dikenali sebagai Jho Low, “membenarkan” transaksi melibatkan Brazen Sky Limited, dengan peranan Geh dan Loo diturunkan sebagai melaksanakan keputusannya.

Peguambela Shafee Abdullah kemudian bertanya saksi itu sama ada dia tahu Najib telah “dirujuk” berhubung pilihan pengurus dana untuk “pelaburan” Brazen Sky bernilai USD2.3 bilion.

Swampillai berkata: “Saya tidak rasa perdana menteri (Najib) terlibat dalam urusan operasi walaupun saya masih percaya seseorang berpangkat lebih tinggi mungkin menyedari perkara ini.”

Saksi itu bersetuju bahawa Low bertindak sebagai pengarah bayangan Brazen Sky.

Swampillai juga berkata, beliau dan bekas rakan sekerja BSI, Yak Yew Chee dipanggil oleh Jabatan Hal Ehwal Komersial Singapura (CAD) untuk direkodkan kenyataan mereka.

Katanya, wakil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) turut hadir dalam beberapa perjumpaan itu.

Jelasnya lagi, kali terakhir dia melihat Yak awal tahun ini tetapi tidak mengetahui apa sedang dilakukannya sekarang.

Yak, bekas pengurus perhubungan BSI, pernah menguruskan akaun keluarga Low dengan bank itu.

Dia dipenjarakan selama 18 minggu pada Nov 2016 kerana membuat pemalsuan dan gagal memantau transaksi mencurigakan berkait 1MDB.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung Selasa.

Najib sedang dibicarakan atas 25 pertuduhan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram melibatkan dana 1MDB berjumlah RM2.28 bilion yang didepositkan ke dalam akaun AmBanknya antara Februari 2011 dan Disember 2014.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.