
Timbalan Pengerusi Parti Sosialis Malaysia, S Arutchelvan yang mewakili kumpulan itu berkata, kegagalan menyelesaikan isu perumahan pekerja ladang menyebabkan mereka kehilangan tempat tinggal selepas berusia 60 tahun.
“Tak ada undang-undang khusus, itu sebabnya bila pekerja berumur 60 tahun, mereka diusir keluar begitu saja, walaupun sudah tiga, empat generasi bekerja di ladang.
“Pampasan mereka dapat untuk faedah berhenti kerja itu dalam lingkungan RM20,000, itupun jarang dapat pampasan sampai RM20,000, tapi harga rumah di pasaran semasa RM300,000 hingga RM500,000.
“Perdana menteri selalu cakap nak bantu B40, golongan miskin tegar. Kali ini kita minta perdana menteri bantu dengan menggubal undang-undang bagi memastikan pekerja ladang memiliki rumah sendiri.”
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas bersama Jawatankuasa Sokongan Masyarakat Ladang (JSML) dan sekumpulan pekerja ladang menyerahkan memorandum kepada Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari.
Arutchelvan berkata, walaupun kerajaan Selangor menetapkan dasar untuk syarikat mengambil tanah ladang bagi tujuan pembangunan perlu membina rumah kepada pekerja sebagai ganti, tetapi ia gagal dilaksanakan sepenuhnya kerana tiada akta khusus.
“Bila tak ada undang-undang khusus, syarikat ladang dan pemaju tak akan ikut polisi ditetapkan kerajaan negeri sebab ia hanya polisi.”
Pekerja ladang yang ditemui FMT kecewa kerana perjuangan berpuluh tahun untuk mendapat perumahan kekal masih tiada penyelesaian.
Kamalkanan Manoharel mendesak kerajaan menggubal undang-undang khas kerana sejak bekerja di ladang, sudah empat kali rumahnya dirobohkan pihak berkuasa.
“Harapan saya, ini adalah yang terakhir. Sekarang nak fikir mahu tinggal di mana dan risau nasib anak cucu, lebih-lebih lagi dengan harga rumah yang tidak murah,” kata Murugaya Velu.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram