
Pesuruhjaya Kanak-Kanak Suhakam, Farah Nini Dusuki dalam kenyataan, berkata masyarakat harus menyedari tanggungjawab kolektif serta impak tindakan mereka dalam menyokong usaha kerajaan mengekang insiden penderaan kanak-kanak daripada terus berlaku.
Katanya, ibu bapa dan penjaga turut berperanan penting dalam mengekang masalah itu.
“Walaupun kerajaan mempunyai kewajipan dalam melindungi hak kanak-kanak, pada masa sama ibu bapa dan penjaga juga perlu cakna tentang tahap kecekapan individu yang diamanahkan untuk menjaga anak mereka.
“Mereka juga perlu melengkapkan diri dengan pengetahuan seperti mencari pusat penjagaan kanak-kanak atau pengasuh yang memenuhi syarat ditetapkan undang-undang dan dikawal selia oleh JKM,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menggesa kanak-kanak yang telah mencapai usia matang diberikan kesedaran meluas mengenai isu memberikan kesan kepada mereka.
“Pengetahuan dan maklumat mengenai hak kanak-kanak harus disebarkan, setara dengan usia mereka.
“Keupayaan mereka untuk memahami tentang keselamatan diri dan rakan mereka adalah penting dalam membantu melaporkan kejadian penderaan kanak-kanak kepada orang dewasa apabila mereka menjadi mangsa atau menyaksikan kejadian penderaan,” katanya.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram