HomeNewsBeritaBusinessLifestyleOpinionWorldSportsPropertyEducationCarzillaGalleryVideosAccelerator

Kali ke-4 hina Agong, penjual daging diarah ke Hospital Bahagia

-

Sharil Mohd Sarif pernah dipenjarakan sebanyak tiga kali dari 2019 hingga 2021 atas kesalahan menghina Agong dan Raja Permaisuri Agong.

0
Shares
Total Views: 1
Free Malaysia Today
Hakim memerintahkan Sharil Mohd Sarif dirujuk ke Hospital Bahagia Ulu Kinta di Perak untuk menjalani pemeriksaan psikiatri. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR:
Seorang lelaki yang tiga kali dipenjarakan atas kesalahan menghina Yang di-Pertuan Agong di laman sosial, sekali lagi didakwa atas pertuduhan sama di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Penjual daging, Sharil Mohd Sarif, 40, mengaku bersalah atas dua pertuduhan membuat hantaran komunikasi jelik terhadap Agong dan Raja Permaisuri Agong.

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam memberitahu mahkamah, dia pernah mendapat rawatan psikiatri di Hospital Sungai Petani, Kedah.

“Saya ada makan ubat dan saya ada masalah mental,” katanya.

Hakim N Priscilla Hemamalini memerintahkan Sharil dirujuk ke Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak untuk menjalani pemeriksaan psikiatri selepas Timbalan Pendakwa Raya, Nurilya Ellyna Nor Azmal memaklumkan tertuduh hanya memberitahu secara lisan mengenai kesihatan mentalnya, namun tiada sebarang dokumen sokongan disertakan.

“Oleh itu, tertuduh dihantar ke Hospital Bahagia Ulu Kinta untuk menjalani pemeriksaan bawah Seksyen 342 (3) Kanun Tatacara Jenayah,” kata hakim yang menetapkan sebutan semula kes bagi laporan psikiatri pada 16 Jun.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, Shahril didakwa secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi jelik melalui Twitter menggunakan laman profil “SharilSarif39″ dengan niat menyakitkan hati orang lain, antara 5.28 dan 5.30 pagi 12 Mac lepas.

Kedua-dua pautan itu kemudian dibaca di pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Bukit Aman pada 8.22 malam 13 Mac lepas.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum bawah Seksyen 233(3) akta sama yang membawa hukuman denda tidak lebih RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya, serta boleh didenda RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Pada 26 April 2019, Sharil dijatuhi hukuman penjara dua bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas mengaku bersalah atas kesalahan menghina Agong melalui Facebook.

Tertuduh juga dijatuhi hukuman penjara 10 bulan oleh mahkamah sama pada 6 Julai 2020 atas kesalahan menghina Agong dan Raja Permaisuri Agong di Instagram.

Pada 24 Sept 2021, Sharil dipenjara setahun dan denda RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini atas kesalahan menghina Agong menerusi Twitter.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.