HomeNewsBeritaBusinessLifestyleOpinionWorldSportsPropertyEducationCarzillaGalleryVideosAccelerator

Adun PKR cabar Razman bukti Saarani tiada sokongan di DUN

-

Arafat Varisai mencabar ketua PAS Perak itu membuktikan dakwaan dibuat dalam undi memilih senator, esok.

0
Shares
Total Views: 1
Free Malaysia Today
Adun Hulu Kinta, Arafat Varisai, berkata dakwaan tidak berasas Razman Zakaria jelas menunjukkan niat mensabotaj ekonomi negeri dengan menjejaskan keyakinan pelabur.

PETALING JAYA:
Naib Pengerusi I PKR Perak, Arafat Varisai mencabar ketua pembangkang negeri, Razman Zakaria agar membuktikan dakwaan gerakan menjatuhkan kerajaan negeri menerusi undi memilih senator, pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) esok.

“Saya cabar beliau gunakan peluang untuk membuktikan angka dalam proses meluluskan usul memilih Senator Dewan Negara bagi mewakili Perak pada sidang DUN Perak yang akan bermula esok jika benar dakwaan beliau,” katanya dalam kenyataan.

Arafat mencabar ketua PAS Perak itu selepas beliau mendakwa beberapa Adun kerajaan bertemu dengannya, berkait gerakan menjatuhkan pimpinan Saarani Mohamad.

Razman yang juga Adun Gunung Semanggol bagaimanapun enggan mendedahkan jumlah dan nama wakil rakyat dari parti membentuk kerajaan perpaduan Perak, yang bertemu dengannya.

Mengulas lanjut, Arafat yang juga Adun Hulu Kinta, berkata dakwaan tidak berasas Razman itu jelas menggambarkan niatnya untuk menunjukkan kerajaan negeri tidak stabil supaya pelabur kurang yakin, sekali gus memberi kesan kepada ekonomi negeri.

“Rakyat Perak sedia maklum Razman sebagai ‘pakar fitnah Perak’ kerana sebelum ini terbukti di mahkamah bahawa kenyataan beliau sebagai fitnah dan tidak benar, maka dalam perkara ini sudah tentu sama.”

Sebelum ini, Saarani menegaskan kerajaan perpaduan di Perak masih kukuh walaupun wujud dakwaan dan khabar angin berkaitan pentadbiran kerajaan negeri akan bertukar Julai ini.

Kerajaan perpaduan Perak terdiri daripada gabungan 33 wakil rakyat iaitu 24 Adun Pakatan Harapan (PH) dan 9 dari Barisan Nasional (BN).

Blok pembangkang diwakili 17 Adun PAS dan 9 dari Bersatu.

Sokongan 30 daripada 59 Adun diperlukan untuk membentuk kerajaan dan pembangkang hanya memerlukan empat lagi sokongan bagi menumbangkan kerajaan semasa.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.