
Sany yang juga Ahli Parlimen Hulu Langat berkata, beliau ingin memberi tumpuan kepada kawasan baharu dimenanginya pada PRU15 kerana tanggungjawab yang lebih besar serta mempunyai dua kawasan DUN di bawahnya iaitu Semenyih dan Dusun Tua.
“Hulu Langat memang kampung halaman saya dan mula berpolitik di sini, tetapi parti hantar saya bertanding di Taman Templer (pada PRU14).
“Namun kalau parti merasakan saya perlu sepenggal lagi di Taman Templer… saya akur,” katanya kepada FMT.
Sany yang juga ahli jawatankuasa pimpinan Amanah berkata hasrat untuk tidak mempertahankan kerusi DUN Taman Templer juga dibuat kerana ingin memberi peluang kepada calon lain.
“Dalam tempoh berbaki kurang dua bulan ini (sebelum DUN Selangor bubar), mereka yang berhajat menjadi calon boleh turun padang,” katanya.
Beliau secara peribadi sedih untuk meninggalkan DUN Taman Templer yang diwakili hampir lima tahun dan perasaan itu dikongsi pengundi di kawasan terbabit.
“Saya selesa bekerja di sana dan begitu juga penduduk yang menerima saya sebagai wakil rakyat mereka,” katanya yang menang kerusi negeri itu dengan majoriti 7,903 undi.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram