HomeNewsBeritaBusinessLifestyleOpinionWorldSportsPropertyEducationCarzillaGalleryVideosAccelerator

Sagu hati raya RM10,000, AKSB minta jangan sebar ‘dokumen sulit’

-

Pengurus Besar AKSB, Nazmi Ghazali Azmi berkata menyebar dokumen sulit merupakan kesalahan mengikut Akta Rahsia Rasmi.

0
Shares
Total Views: 1
Free Malaysia Today
Pengurus Besar AKSB, Nazmi Ghazali Azmi enggan mengulas kesahihan ahli lembaga pengarah syarikat itu menerima sagu hati RM10,000, seperti tular di media sosial.

PETALING JAYA:
Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) dan exco kerajaan negeri “mengunci mulut” berhubung dakwaan pemberian sagu hati Aidilfitri kepada sembilan ahli lembaga pengarah masing-masing RM10,000 seorang.

Pengurus Besar AKSB, Nazmi Ghazali Azmi sebaliknya meminta media “memadam dokumen berhubung pemberian” sagu hati Aidilfitri itu kerana menyebarkan dokumen sulit adalah menjadi kesalahan.

“Menyebarkan dokumen sulit adalah suatu kesalahan di bawah Akta Rahsia Rasmi, wartawan jangan terbabit dengan kesalahan itu. Minta padam (dokumen yang tular),” katanya menurut Harian Metro.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur, Pengangkutan, dan Utiliti negeri, Azami Mohd Nor dilaporkan ketika enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu.

“Saya tidak mahu komen perkara ini kerana tidak mahu memperbesarkan isu ini,” katanya.

Terdahulu, Ahli Majlis Pimpinan PKR Kelantan, Dr Rosli Allani Abdul Kadir menggesa AKSB dan kerajaan negeri memberi penjelasan berhubung pemberian sagu hati tersebut.

Beliau berkata, perkara itu perlu dijelaskan khususnya mengenai rasional pemberian sagu hati berkenaan sama ada ia sepadan pencapaian AKSB dalam melaksanakan perkhidmatannya membekalkan air bersih.

Semalam, tular di Facebook satu notis mengenai pemberian sagu hati raya RM10,000 kepada ahli lembaga pengarah AKSB, yang dipercayai melibatkan sembilan individu.

Turut dinyatakan dalam notis itu ialah pemberian sagu hati RM200 kepada semua kakitangan dan RM2,000 untuk setiausaha syarikat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.