
Menteri Besar, Aminuddin Harun, berkata kesemua pegawai daerah telah diberikan taklimat oleh Pejabat Tanah dan Galian (PTG) termasuk berkaitan modus operandi kegiatan berkenaan sekaligus memberikan pendedahan untuk mengendalikan perkara itu sekiranya berlaku.
“Kita khuatir ada lagi di daerah lain (lombong nadir bumi), sebab itu taklimat diadakan supaya mereka (pegawai daerah) tahu bagaimana ia dijalankan kerana ini kali pertama berlaku di Negeri Sembilan, tak pernah kita lihat sebelum ini, sebab itu kita dedahkan dan harap dapat membantu mereka ambil tindakan.
“Ini perkara yang harus dipandang serius dan tindakan segera. Bagaimanapun, ia masih dalam siasatan. Beberapa enakmen juga sedang dikenal pasti dan diserahkan kepada timbalan pendakwa raya untuk melihat tindakan undang-undang yang boleh diambil,” katanya kepada pemberita.
Semalam, Aminuddin mendedahkan aktiviti perlombongan haram nadir bumi dikesan atas dua lot tanah milik di Kampung Sikai, Seri Menanti, Kuala Pilah dekat sini menerusi aduan yang diterima Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Pilah pada 16 Mei lepas.
Dalam pada itu, Aminuddin berkata, pemeriksaan awal mendapati kegiatan itu dijalankan di tanah persendirian namun pihaknya sedang mengenal pasti sama ada ia turut membabitkan tanah milik kerajaan selain keluasan sebenar tanah terbabit.
“Kita belum dapat secara tepat keluasannya, tetapi memang luas, tidak hanya melibatkan satu dua ekar, selain turut melibatkan kawasan berbukit. Tempoh aktiviti itu dijalankan pula belum diketahui dan hanya Jabatan Mineral dan Geosains boleh menganggarkannya,” katanya.
Menurutnya, kerajaan negeri tidak akan berkompromi dengan kejadian seumpama itu selain turut meminta mana-mana pihak yang mempunyai maklumat mengenainya untuk menyalurkan kepada jabatan berkaitan dengan imbuhan akan diberikan kepada pemberi maklumat yang tepat.
Sementara itu, beliau berkata, nadir bumi merupakan sumber baharu yang ingin diteroka sekali gus mampu memberikan hasil kepada kerajaan negeri, namun masih menunggu prosedur operasi standard (SOP) daripada kerajaan persekutuan.
“Walaupun beberapa negeri umumkan mereka buat, kita kena tunggu SOP supaya ia tak beri kesan kepada masyarakat, kerana berhampiran penempatan dan kita negeri kecil, kalau negeri tertentu ada hutan besar jadi penempatan agak jauh,” katanya.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram