
Menurut rekod Jabatan Alam Sekitar, Nik Nazmi berkata, sejumlah 1,845 kes pembakaran terbuka direkodkan antara 1 Januari hingga 25 Mei.
Daripada jumlah itu sebanyak 236 arahan lapangan atau amaran dikeluarkan, 45 kompaun, 68 notis arahan, dan satu tindakan mahkamah ke atas kesalahan melakukan pembakaran terbuka.
Tambahnya, terdapat lima kes kebakaran berskala besar melibatkan hutan tanah gambut, tapak pelupusan sampah, dan tapak pelupusan sampah haram yang menyebabkan jerebu.
“Pada masa ini, tiga kes kebakaran berjaya dipadamkan sepenuhnya.
“Semua jabatan, agensi dan kerajaan negeri terlibat diminta untuk mempertingkatkan tindakan pencegahan pembakaran untuk mengelak kejadian seumpama berulang,” katanya dalam kenyataan.
Nik Nazmi berkata, Jabatan Meteorologi Malaysia memaklumkan negara akan mengalami kurang taburan hujan, peningkatan suhu, dan cuaca yang lebih panas serta kering hingga September.
Katanya, berdasarkan situasi cuaca ini, jerebu tempatan dan jerebu merentas sempadan boleh berlaku sekiranya kebakaran terbuka tidak dikawal.
Nik Nazmi berkata, kementerian akan mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang menyebabkan pembakaran terbuka dan akan menambah baik tindakan pencegahan kebakaran hutan dan belukar tanah gambut.
Mereka yang didapati bersalah menyebabkan kebakaran terbuka boleh didenda tidak melebihi RM500,000 atau penjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya sekali.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram