HomeNewsBeritaBusinessLifestyleOpinionWorldSportsPropertyEducationCarzillaGalleryVideosAccelerator

Jenazah Awang Askandar tiba di KLIA

-

Jenazah akan diterbangkan ke Kota Kinabalu pada 11.35 pagi dan dijangka tiba di Lapangan Terbang Kota Kinabalu pada 2.15 petang nanti.

0
Shares
Total Views: 1
Free Malaysia Today
Jenazah Awang Askandar Ampuan Yaacub diberi penghormatan terakhir sejurus tiba dari Kathmandu di Kompleks Kargo KLIA hari ini. (Gambar Bernama)

SEPANG:
Jenazah peserta misi pendakian Malaysia Everest 2023 yang juga pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kedah, Awang Askandar Ampuan Yaacub selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kira-kira 7.30 pagi tadi.

Jenazah mangsa diterbangkan dengan pesawat MH115 yang berlepas dari Kathmandu, Nepal pada 11.30 malam Jumaat (waktu Kathmandu).

Jenazah akan dibawa balik ke Kota Kinabalu, Sabah dengan penerbangan MH2646 pada 11.35 pagi dan dijangka tiba di Lapangan Terbang Kota Kinabalu pada 2.15 petang nanti.

Sesi penghormatan terakhir di Kompleks Kargo KLIA di sini, pagi ini, disertai lebih 70 anggota APM, dengan bacaan Yasin dan tahlil dipimpin Lt Bersekutu APM, Miszlee Samais.

Raja Muda Kedah, Tengku Sarafuddin Badlishah Sultan Sallehuddin dan Che Puan Muda, Zaheeda Mohamad Ariff turut berkenan berangkat menziarahi jenazah dan memberi penghormatan terakhir.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-tugas Khas), Armizan Mohd Ali dilaporkan berkata, atas permintaan ahli keluarga, jenazah akan dibawa ke kediaman mereka di Kampung Benoni, Papar dan kemudiannya ke Masjid Jamek As-Salam Benoni untuk solat jenazah.

Jenazah Allahyarham akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Benoni mengikut istiadat penghormatan APM.

Awang Askandar meninggal dunia pada 10.30 pagi 19 Mei lalu (waktu Nepal), selepas mengalami masalah kesihatan ketika berada di ketinggian 8,000m dari aras laut, ketika beliau hanya memerlukan kira-kira 20 minit untuk sampai ke puncak Everest.

Allahyarham ketika itu bersama seorang lagi pendaki negara, Muhammad Hawari Hashim, 33, yang juga orang kurang upaya pendengaran.

Hawari dilaporkan hilang pada 19 Mei lalu, selepas menawan puncak tertinggi dunia itu dan usaha mencarinya masih diteruskan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.