HomeNewsBeritaBusinessLifestyleOpinionWorldSportsPropertyEducationCarzillaGalleryVideosAccelerator

RM5 juta diperuntukkan untuk Majlis Belia Malaysia

-

Perdana Menteri Anwar Ibrahim bersetuju memberikan peruntukan itu atas kesungguhan kepimpinan MBM, termasuk dalam menjayakan Negara Madani.

0
Shares
Total Views: 1
Free Malaysia Today
Perdana Menteri menghadiri Majlis Sambutan Hari Belia Negara 2023 di Padang Pejabat Daerah dan Tanah Port Dickson hari ini. (Gambar Bernama)

PORT DICKSON:
Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan RM5 juta setahun kepada Majlis Belia Malaysia (MBM) bagi memperkasakan golongan muda untuk memacu negara.

Beliau berkata, keyakinan dan kesungguhan kepimpinan Presiden MBM Mohd Izzat Afifi Abdul Hamid telah menjayakan Negara Madani, dengan keyakinan serta sokongan padu para belia di negara ini.

“(Disebabkan) kesungguhan pimpinan MBM, termasuk menjayakan Negara Madani dengan keyakinan dan ilmu, maka saya setuju peruntukan RM5 juta setahun.

“MBM istimewa kerana badan-badan yang mewakili persatuan, kaum, agama boleh menyatukan para belia dengan semangat perpaduan,” katanya..

Perdana menteri berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Belia Negara 2023 di Padang Pejabat Daerah dan Tanah Port Dickson hari ini, yang turut dihadiri Menteri Besar Negeri Sembilan Aminuddin Harun dan Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh.

Anwar berkata, MBM perlu memperincikan laporan mengenai hala tuju, menerusi peruntukan yang diumumkan itu, dan dalam tempoh sebulan ini, beliau mahu MBM memberikan laporan mengenai rancangan pertubuhan itu bagi menambah keanggotaan para belia.

“Keduanya, memastikan penyertaan wanita di semua peringkat termasuk pimpinan MBM, bermula dengan penyertaan 30%,” katanya.

“(Dan) ketiganya, memperhebat program, ekonomi, latihan serta kebajikan termasuk kesedaran belia dalam menunaikan tanggungjawab mereka dalam negara ini.”

Anwar yang pernah memimpin MBM pada era 70-an berkata, menerusi semangat dan prinsip MBM terdahulu, beliau tegas dalam memerangi rasuah pada hari ini.

Sementara itu, beliau berkata, syarikat berkaitan kerajaan seperti Khazanah Nasional Bhd dan Petronas dicadangkan supaya dilibatkan dalam program latihan belia yang memberikan tumpuan dalam aspek kepemimpinan.

Anwar berkata, beliau akan membawa cadangan berkaitan program latihan di institut latihan belia bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS) ke peringkat Jemaah Menteri untuk diluluskan dalam masa terdekat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.