
Kementerian Pengangkutan dalam kenyataan berkata penggantungan itu berkuatkuasa 12 Jun.
Syarikat SV Juta Sdn Bhd, pengendali Starmart Express yang berlanggar dengan 12 kenderaan lain di KM256.8 arah utara pada Mei lalu digantung lesen selama 58 hari atas kesalahan gagal mematuhi Akta Pengangkutan Awam Darat 2010, kesalahan berulang dan pemanduan berbahaya.
Manakala syarikat Kejora Masyhur Sdn Bhd, pengendali bas ekspress TRA Xpress yang berlanggar dengan dua lori di KM257.8 arah selatan pada 13 Mei pula digantung 37 hari atas kesalahan gagal mematuhi syarat lesen iaitu keperluan keselamatan.
“Semakan dengan agensi berkaitan mendapati kedua-dua syarikat ini turut mempunyai rekod saman lampau yang tinggi,” menurut kementerian.
“Sepanjang tempoh penggantungan tersebut, sebarang transaksi berhubung dengan lesen pengendali bagi kedua-dua syarikat tidak dibenarkan.”
Pada 12 Mei, seorang lelaki tersepit dalam kemalangan sebuah bas ekspres dan 12 kereta di KM256.8 arah utara, laluan Terowong Menora ke Kuala Kangsar.
Dalam kejadian itu, pemandu kereta Proton Saga, Kwan Wai Meng, 54, tersepit dalam kenderaannya selepas kereta dirempuh bas berkenaan dari arah belakang dan melanggar beberapa kereta lain di hadapannya.
Sementara kejadian pada keesokannya, bas ekspres yang dalam perjalanan dari Pulau Pinang menuju Kajang, merempuh dua treler di KM257.8 apabila mengundur sejauh 700m menuruni kawasan berbukit selepas gagal memotong.
Seramai 14 penumpang bas ekspres termasuk pemandu cedera.
Kementerian berkata, susulan kejadian itu agensi bawahnya diarah menjalankan pemeriksaan audit pematuhan dan keselamatan ke atas pengendali yang berisiko tinggi.
“Kementerian berharap tindakan dikenakan ke atas dua syarikat pengendali ini menjadi pengajaran dan peringatan kepada lain-lain pengendali untuk sentiasa mematuhi peraturan ditetapkan semasa beroperasi terutama perkara melibatkan hal keselamatan.”
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram