
Timbalan Menteri Kesihatan Lukanisman Awang Sauni, berkata setakat ini projek tersebut melibatkan 27 lokaliti di empat negeri iaitu Melaka, Kuala Lumpur, Selangor, dan Pulau Pinang dan akan diperluaskan ke Sabah sebagai langkah pengawalan demam denggi.
“Di Melaka sebanyak 300,000 nyamuk tersebut dilepaskan sejak Mac 2022 dengan Taman Bemban Jaya terpilih bagi projek ini berdasarkan kriteria yang ditetapkan oleh KMM dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
“Pada peringkat fasa pertama, projek ini menggunakan kaedah pelepasan telur nyamuk aedes berwolbachia dan kini ia memasuki fasa kedua iaitu fasa pelepasan nyamuk berwolbachia dewasa,” katanya pada sidang media selepas melakukan pelepasan nyamuk tersebut bagi fasa kedua di Taman Bemban Jaya.
Jelasnya, bagi fasa kedua, hampir 100,000 ekor nyamuk dewasa berwolbachia akan dilepaskan dengan setiap 10,000 ekor bagi setiap pelepasan selama lapan minggu berturut-turut, bermula hari ini.
Mengulas impak pelepasan nyamuk berwolbachia, Lukanisman berkata, tiada kes demam denggi dilaporkan dari lokaliti berkenaan pada minggu epidemiologi ke-21, sekali gus menunjukkan hasil yang sangat positif.
“Selain tiada kes dilaporkan, kepadatan nyamuk aedes berwolbachia juga telah mencapai 80% frekuensi seperti yang disasarkan oleh KKM dan dalam masa yang sama, lokaliti kedua di negeri ini akan dipilih mengikut ketetapan KKM dan WHO.
“Justeru pemantauan akan dilakukan termasuk memberi maklumat secara berterusan kepada masyarakat agar tidak membunuh nyamuk ini memandangkan ia antara kaedah paling selamat dan efektif dalam memerangi wabak denggi,” katanya.
Di Melaka, jumlah kes denggi didaftarkan setakat 27 Mei adalah 385 kes termasuk satu wabak aktif dilaporkan, dengan secara keseluruhannya 15 jumlah wabak iaitu 13 wabak terkawal, satu wabak berulang dan satu lokasi panas dilaporkan bagi minggu epidemiologi ke-21.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram