HomeNewsBeritaBusinessLifestyleOpinionWorldSportsPropertyEducationCarzillaGalleryVideosAccelerator

Tuduh saya ‘zalim’ berbanding Dr M jelas fitnah, kata Anwar

-

Anwar Ibrahim berkata, Ahli Parlimen Pendang, Awang Hashim membuat kenyataan ‘fitnah’ apabila berkata pembangkang menjadi sasaran pendakwaan terpilih.

0
Shares
Total Views: 1
Free Malaysia Today
Anwar Ibrahim berkata, dakwaan Awang Hashim bahawa beliau ‘memeras ugut’ pembangkang adalah tuduhan ‘berniat jahat, fitnah dan palsu’.

KUALA LUMPUR:
Anwar Ibrahim menegaskan Ahli Parlimen Pendang, Awang Hashim memfitnahnya dengan menggelarnya “zalim” apabila membandingkan dirinya dengan Dr Mahathir Mohamad.

Menjawab pernyataan pembelaan Awang, perdana menteri berkata, tidak masuk akal membandingkan beliau dengan Mahathir.

“Semua rujukan kepada Mahathir tidak sepatutnya dibuat oleh defendan,” katanya dalam jawapan difailkan di Mahkamah Tinggi semalam.

Sebagai perdana menteri, katanya, beliau tiada kuasa mengarahkan pihak berkuasa menyiasat atau melakukan pendakwaan jenayah terhadap mana-mana pihak.

“Tuduhan bahawa saya ‘memeras ugut’ (pembangkang) berniat jahat, fitnah dan palsu,” katanya.

Anwar mengulangi beliau memiliki sokongan majoriti di Dewan Rakyat dan tuduhan Awang bahawa dirinya bergantung kepada “jumlah tidak sah” untuk menjadi perdana menteri tidak benar.

Dalam saman difailkan 3 Mac lalu menerusi firma SN Nair & Partners di Mahkamah Tinggi, Anwar mendakwa Awang memfitnahnya dengan berkata Ahli Parlimen pembangkang menjadi sasaran pendakwaan terpilih.

Awang juga dikatakan menuduh Anwar campur tangan dalam urusan agensi penguatkuasaan undang-undang dan bahagian pendakwaan Jabatan Peguam Negara.

Kenyataan itu juga dimuat naik menerusi satu video di TikTok keesokannya.

Anwar memohon perintah injunksi bagi menghalang Awang dan ejen atau wakilnya mengubah, menulis atau menyiarkan kenyataan fitnah sama terhadapnya, selain menuntut ganti rugi am, teruk, teladan, pampasan serta relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Dalam pernyataan tuntutan itu, Anwar mendakwa kenyataan fitnah itu antaranya membawa maksud beliau mempunyai sifat pendendam serta membalas dendam, menyalahgunakan kuasa sebagai perdana menteri dan menteri kewangan dengan mencampuri, mengganggu serta sewenang-wenangnya mengarahkan agensi penguatkuasaan undang-undang dan pendakwaan di Malaysia untuk agenda politik peribadi.

Beliau mendakwa Awang sengaja dan berniat jahat mengucap serta menerbitkan kenyataan fitnah itu untuk menghasut orang ramai serta menimbulkan kebencian peribadi terhadap plaintif yang kini ketua kerajaan perpaduan sah dan komited membasmi semua bentuk rasuah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.