
Geoffrey Williams dari Universiti Sains dan Teknologi Malaysia berkata Tinjauan Pasaran Buruh S4 2022, dan Laporan Tinjauan Gaji dan Upah 2022 menunjukkan jumlah pengangguran bagi mereka yang berumur 25 hingga 34 tahun ialah 32%.
Purata pendapatan bagi mereka dalam kumpulan umur berkenaan ialah RM2,053, yang mana ia di bawah gaji sara hidup dan ada yang berpendapatan kurang daripada RM2,000, katanya.
Williams berkata, mengambil kira inflasi, gaji sara hidup bagi individu yang menetap di Kuala Lumpur pada 2023 sepatutnya sekitar RM3,089. Bagi pasangan, kadarnya ialah RM5,149.

“Hutang tinggi yang berkumpul adalah disebabkan pendapatan yang rendah dan pengangguran,” katanya kepada FMT, sambil menambah bahawa kumpulan ini lebih cenderung mengambil pinjaman bank.
“Ini bukan hanya masalah bagi orang muda, tetapi juga bagi keluarga yang pendapatan rendah. Ini bermakna orang muda terpaksa bekerja dengan gaji rendah untuk menyara keluarga mereka,” katanya.
Beliau berkata pelajar yang menamatkan pengajian dari universiti dan kolej juga dikehendaki membayar pinjaman mereka, tetapi ramai yang tidak dapat berbuat demikian kerana gaji yang rendah, seterusnya mendorong mereka berhutang.
Williams diminta mengulas mengenai kenyataan Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh bahawa hutang kad kredit, pinjaman peribadi, dan perbelanjaan sebelum memperoleh pendapatan adalah antara faktor yang menyebabkan ramai belia diisytiharkan muflis.
Hidup mewah melebihi kemampuan dorong belia buat pinjaman
Nazari Ismail dari Universiti Malaya berkata beliau percaya bahawa belia selalunya hidup di luar kemampuan mereka, inginkan gaya hidup mewah, penginapan yang mahal, dan kereta berjenama yang mendorong mereka membuat pinjaman.

“Nilai sebegitu adalah salah, di mana orang ramai melihat memiliki kereta dan rumah mewah serta pergi bercuti mahal sebagai tanda kejayaan utama,” katanya.
Beliau berkata, golongan belia sering terpesona pada gaya hidup mewah kerana mereka dipengaruhi oleh apa yang dilihat pada ahli politik dan ahli perniagaan.
Nazari percaya satu set nilai baharu perlu dibangunkan supaya belia sedar bahawa berhutang dengan bank adalah sesuatu yang harus dielakkan.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram