
Geoffrey Williams dari Universiti Sains dan Teknologi Malaysia berkata pelajar lepasan SPM dari latar belakang miskin terpaksa bekerja untuk menyara keluarga, seterusnya menghalang mereka daripada menyambung pengajian.
Williams berkata kelemahan dalam Program Transformasi Ekonomi (ETP), yang dilancarkan pada 2010 dengan matlamat mewujudkan tiga juta pekerjaan, menyebabkan dua pertiga daripada peluang pekerjaan tidak memerlukan kelayakan selain SPM.
“Dasar kerajaan (ETP) adalah untuk mewujudkan pekerjaan yang berkualiti rendah, bergaji rendah dan kurang mahir, dan ia adalah satu-satunya bidang yang kerajaan sebenarnya telah berjaya laksanakan: memberikan ekonomi bergaji rendah,” katanya kepada FMT.
Minggu lalu, Timbalan Menteri Kewangan Ahmad Maslan mendedahkan bahawa hanya 40% daripada kira-kira 500,000 lepasan SPM tahunan melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi, dengan majoritinya mencari kerja dalam sektor pembuatan, penghantaran dan e-hailing.
Williams berkata walaupun kelihatan rendah, angka 40% masih mengatasi negara lebih maju seperti Itali (28.3%) dan Jerman (36%).
“Kita tidak perlu terlalu bimbang. Walaupun seseorang itu tidak menyambung pelajaran ke kolej, masih ada banyak peluang untuk mereka menyambung pengajian walaupun ketika mereka sudah semakin berusia,” kata Williams.
Menurut Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD), purata 46% orang dewasa berumur antara 25 dan 34 tahun mempunyai pendidikan tinggi.
ETP, yang dilancarkan oleh perdana menteri ketika itu Najib Razak, menyaksikan kerajaan menetapkan objektif untuk mewujudkan 3.3 juta pekerjaan baharu, dengan 11% bertujuan untuk memperoleh pendapatan tinggi.
Setiausaha Agung Belia Mahir, Rizan Hassan, berkata institusi pengajian tinggi tidak menarik minat ramai pelajar lepasan SPM.
Ini kerana “persekitaran (mereka) tidak kondusif untuk pembelajaran, kemudahan makmal dan bengkel tidak dinaik taraf dan tenaga pengajar tidak begitu kompeten,” kata ketua NGO yang memfokuskan kepada kepada pembangunan belia.
Rizan berkata institusi pengajian tinggi juga gagal menyesuaikan diri dengan permintaan golongan muda, iaitu gagal menerapkan keseimbangan kerja dan kehidupan yang lebih baik dalam amalan akademik semasa.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram