HomeNewsBeritaBusinessLifestyleOpinionWorldSportsPropertyEducationCarzillaGalleryVideosAccelerator

Rumah mampu milik: Tumpu pasaran sekunder, kata kumpulan pemikir

-

Pusat Pendidikan Pasaran (CME) berkata sebanyak 80% transaksi jual beli berlaku dalam pasaran sekunder, bukan kawasan perumahan baharu.

0
Shares
Total Views: 1
Free Malaysia Today
Ketua Pegawai Eksekutif CME, Carmelo Ferlito, berkata kemampuan diukur berdasarkan pasaran perumahan tertentu, sedangkan rakyat membeli dan menjual di pasaran berlainan.

PETALING JAYA:
Sebuah badan pemikir berkata Putrajaya tidak sepatutnya melihat kepada pemilikan rumah mampu milik pada harga semata-mata, sambil menyifatkan Nisbah Pendapatan Harga (PIR) sebagai ukuran analisis terhad.

Pusat Pendidikan Pasaran (CME) berkata, ketika ini PIR dikira berdasarkan pelancaran pembangunan perumahan baharu, berbanding melihat kepada pasaran sekunder, yang mana 80% transaksi berlaku.

“Secara mudah, kita mengukur keupayaan memiliki hanya melibatkan pasaran perumahan tertentu, sedangkan rakyat membeli dan menjual di pasaran berlainan,” kata Ketua Pegawai Eksekutif, Carmelo Ferlito.

Beliau mengulas permintaan disuarakan Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang mahu Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan menyemak syarat rumah mampu milik terhadap pemaju.

Dalam kenyataan, Ferlito berkata, walaupun PIR membandingkan harga median kediaman dengan pendapatan median isi rumah, indeks berkenaan mudah dikira, namun ia tidak terpakai kepada sewa, lokasi, dan berapa jumlah rumah boleh dibeli pada harga median.

Katanya, PIR rendah tidak semestinya menunjukkan tahap kebajikan baik bagi pemilik rumah kerana mereka mungkin membeli hartanah susulan tekanan ekonomi atau ketiadaan permintaan.

“Justeru, walaupun PIR berkemungkinan berguna mengenal pasti masalah kemampuan, ia terlalu mudah untuk dijadikan pemacu dalam merangka dasar penyelesaian,” katanya.

Ferlito berkata, CME sedang membangunkan indeks kemampuan baharu berdasarkan campuran PIR dan kemampuan sosial, yang mengambil kira lokasi, kesalinghubungan dan mobiliti sosial.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.