
Ketua Polis Seberang Perai Tengah, Tan Cheng San, berkata lelaki tempatan berusia 30-an itu ditahan pada 6.18 petang di Bukit Mertajam.
“Polis mengesan satu rakaman video dimuat naik pemilik akaun Facebook ‘Thai Khor’ 4.20 petang semalam memaparkan sebuah kenderaan menggunakan lampu mata arah di lokasi berkenaan namun tarikh serta masa tidak dapat dipastikan.
“Susulan itu, kami berjaya mengesan dan menahan pekerja swasta tersebut selain merampas satu set lampu mata arah yang digunakan ketika kejadian,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, pemandu itu disiasat dan dikenakan saman bawah Peraturan 138 Kaedah Lalu Lintas Jalan 170/59, iaitu mengubah suai kenderaan tanpa kebenaran Jabatan Pengangkutan Jalan.
“Jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak lebih RM2,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan,” katanya.
Terdahulu, tular rakaman video menunjukkan kenderaan itu menggunakan lampu mata arah biru di bahagian cermin hadapan atas papan pemuka.