HomeNewsBeritaBusinessLifestyleOpinionWorldSportsPropertyEducationCarzillaGalleryVideosAccelerator

Beri peluang, masa untuk kerajaan perpaduan capai lebih banyak, kata Nga

-

Pentadbiran negara pada landasan yang tepat, namun perlu masa untuk mencipta lebih banyak pencapaian yang bermanfaat kepada rakyat, kata naib presiden DAP itu.

0
Shares
Total Views: 1
Free Malaysia Today
Nga Kor Ming berkata, pimpinan berintegriti bawah Anwar sudah mula membuahkan hasil. (Gambar Bernama)

ALOR SETAR:
Rakyat perlu terus memberi peluang dan masa kepada kerajaan perpaduan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk membawa negara ini ke arah yang lebih baik dan mencipta pelbagai kejayaan.

Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata, dalam tempoh enam bulan mentadbir negara, beberapa kejayaan telah pun dapat dilihat termasuk peningkatan kedudukan negara dalam Ranking Daya Saing Dunia (WCR) Institut Pembangunan Pengurusan Antarabangsa (IMD) 2023.

“IMD ranking dunia baru umumkan Malaysia buat pertama kali kalahkan Korea Selatan dari segi daya saing dunia, ranking kita dah melonjak daripada tangga 32 (tahun lepas), kini menduduki tangga 27 mengatasi Korea Selatan.

“Sudah lama kita tak pernah capai ini, sebab itu saya kata pimpinan berintegriti bawah Anwar dah mula membuahkan hasil,” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan kerja ke Pasar Awam Teluk Wanjah di sini hari ini.

Selain itu, kata Nga, kadar inflasi negara yang mereda kepada 2.8% pada Mei, seperti yang diumumkan Jabatan Perangkaan Malaysia, dicapai hasil usaha gigih kerajaan.

Beliau berkata, keadaan itu menunjukkan pentadbiran negara berada pada landasan yang tepat, namun memerlukan masa untuk mencipta lebih banyak pencapaian yang membawa manfaat kepada rakyat.

“Takkanlah enam bulan ini kita nak sampai ke bulan, nak bina rumah PPR pun ambil masa 36 bulan, oleh itu masa sangat penting,” katanya.

Nga berkata, kedudukan Malaysia yang berada di tangga ke-73 Indeks Kebebasan Media Dunia 2023 berdasarkan laporan Reporters Without Borders (RSF), berbanding tangga ke-133 tahun lepas, turut dilihat sebagai pencapaian memberangsangkan.

“Ini bermaksud kerajaan ini menghormati demokrasi serta mendengar suara rakyat, kerajaan (perpaduan) tak main sentimen kaum ataupun fahaman agama yang sempit, kita cuma fokus bekerja,” katanya.

Sementara itu, mengulas kenyataan bekas setiausaha publisiti DAP Tony Pua yang dilapor menyifatkan Barisan Nasional (BN) sebagai pakatan “korup”, Nga yang juga naib presiden DAP berkata, semua ahli parti itu “wajib” memberikan sokongan kepada semua parti dalam kerajaan perpaduan.

“Kita tidak ada masa untuk berbalah, inilah masanya untuk kita fokus bekerja, tugas kita adalah memperkukuhkan Kerajaan Madani,” katanya.

“Sebab itu saya katakan, Umno wajib bantu DAP dan DAP wajib bantu Umno … kita harus lupakan sengketa lama dan perbalahan pada masa silam.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.