
“Kenyataan beliau tersebut disokong oleh peristiwa-peristiwa sejarah yang pernah berlaku dan juga berdasarkan kepada peruntukan Perlembagaan,” katanya dalam kenyataan.
Rafique menyentuh tiga perkara dalam Perlembagaan, iaitu Perkara 8 berkenaan kesamarataan, Perkara 11 berkenaan kebebasan beragama, dan Perkara 153 yang menyentuh tentang kedudukan istimewa orang Melayu.
Menurut beliau, Perkara 8 menyatakan bahawa hak sama rata tidak mutlak, manakala perlindungan ke atas kepentingan kaum-kaum bukan Melayu “tidak boleh mengingkari” Perkara 153, yang memberikan beberapa keistimewaan kepada orang Melayu.
Perkara 11(4) pula memberikan kuasa kepada Parlimen dan DUN untuk menyekat pengembangan agama lain kepada orang Islam, namun tiada sekatan boleh dibuat terhadap pengembangan agama Islam.
“Ini tidak bererti negara ini negara ‘berketuanan Melayu’ (Malay supremacy). Namun sebaliknya, ianya negara ‘berkeutuhan Melayu’ (Malay primacy),” katanya, dan menambah keistimewaan orang Melayu terkandung dalam Laporan Suruhanjaya Reid 1957.
“Ianya tidak dapat dipertikaikan lagi bahawa sememangnya pendiri-pendiri negara kita (our forefathers) mengakui bahawa negara ini pada hakikatnya bukanlah negara yang berbilang kaum.”
Rafique menjawab pandangan pengamal undang-undang yang berpandangan bahawa Mahathir salah faham apabila mendakwa mempromosikan negara berbilang bangsa bertentangan dengan Perlembagaan.
Bastian Pius Vendargon berkata, Perlembagaan mengiktiraf setiap rakyat dan memberikan mereka semua hak yang berbeza; manakala Philip Koh dari Universiti Malaya menyifatkan tafsiran Mahathir sebagai “fitnah”, kerana Perlembagaan menggalakkan demokrasi yang kondusif untuk membina sebuah negara berbilang kaum, sambil mengiktiraf peranan Islam dan hak orang Melayu.
Rafique bagaimanapun meminta pengkritik melihat kenyataan Mahathir secara keseluruhan.
“Apa yang dinyatakan oleh Mahathir adalah tepat menurut Perlembagaan dan bukanlah satu fitnah. Bahkan ianya adalah satu fitnah untuk mengatakan bahawa kenyataan Mahathir tersebut sebagai fitnah,” katanya.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram