
Timbalan presiden PAS itu berkata sebaiknya Pejuang yang diketuai bekas menteri besar Kedah Mukhriz Mahathir menyokong calon PN sekiranya tidak mahu melihat undi Melayu berpecah.
“Kita menyambut baik sesiapa sahaja yang ingin mengadakan kerjasama politik dengan PN bagi mempastikan kita berjaya dalam PRN ini.
“Namun soal kerusi yang akan dipertandingkan, kita telah selesai mengagihkan kerusi di kalangan PAS, Bersatu dan Gerakan (pada 26 Jun),” katanya kepada FMT.
“Sekiranya melibatkan kerusi untuk pertandingan, ia sukar dirombak,” kata Ahli Parlimen Kubang Kerian itu mengulas kenyataan Mukhriz semalam bahawa partinya masih berharap dapat bekerjasama dengan PN pada PRN.
Harapan itu dizahirkan Mukhriz susulan pertemuan Pengerusi PN Muhyiddin Yassin dan Dr Mahathir Mohamad dua hari lalu yang bersetuju mengukuhkan perpaduan orang Melayu serta meningkatkan sokongan kepada PN pada PRN 12 Ogos depan.
Merujuk keputusan PN menolak permohonan penyertaan Pejuang pada 21 Mac lalu, Mukhriz berharap komponen itu kali ini dapat mempertimbangkan sewajarnya kerjasama untuk mengelak pertembungan dan mewujudkan situasi satu lawan satu dengan gabungan Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN).
Beliau yang juga bekas wakil rakyat DUN Jitra mencadangkan semua parti politik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu dapat disatukan bersama PN dalam berdepan PRN.
Mukhriz dilaporkan berkata Pejuang yang mempunyai empat kerusi DUN iaitu masing-masing dua di Selangor dan Kedah tidak “bercita-cita” bertanding lebih daripada itu, namun ketika ini masih mengambil sikap tunggu dan lihat sama ada mahu menyertai PRN atau sebaliknya.
Pada 24 Mac lalu, FMT melaporkan kenyataan Tuan Ibrahim bahawa permohonan Pejuang menyertai PN ditolak kerana tidak mahu pembahagian kerusi PRN antara parti gabungan terganggu.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram