
Arnold Puyok dari Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) berkata, cadangan penggabungan itu akan mengukuhkan sokongan masyarakat KDM kepada kedua-dua parti.
“Masyarakat sudah berpecah-belah dari segi politik. Apabila dua parti terbesar Kadazandusun-Murut bergabung, ia memberi petanda baik dari segi perwakilan politik mereka di peringkat negeri dan persekutuan,” katanya kepada FMT.
Beliau berkata, STAR dan PBS mendapat mandat mereka terutama daripada pengundi KDM dan dilihat sebagai pembela teguh hak Sabah.
“Dari sudut pandangan ideologi dan dasar, penggabungan antara parti boleh dilakukan secara praktikal.”
Puyok berkata, cabaran utama dihadapi kedua-dua parti itu ialah menentukan siapa akan mengetuai entiti baharu tersebut dan sama ada barisan lama sedia memberi laluan kepada pemimpin baharu.
Cadangan penggabungan PBS-STAR disuarakan Presiden STAR Jeffrey Kitingan 1 Julai lalu dalam usaha mengukuhkan dua parti berasaskan KDM.
Ketua Penerangan PBS, Joniston Bangkuai, yang menyokong penggabungan itu berkata ia akan menjadi langkah strategik. Bagaimanapun, katanya pembahagian kerusi dan pemilihan calon akan menimbulkan cabaran.
Lee Kuok Tiung dari Universiti Malaysia Sabah berkata, masyarakat sudah berpecah-belah kerana wujud terlalu banyak parti. Beliau berkata pemimpin KDM harus bekerjasama untuk memperjuangkan hak Sabah.
“Masyarakat bersatu padu boleh membangkitkan isu dihadapi dan memastikan suara mereka didengar, terutama yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963,” katanya.
Beliau juga berkata, penggabungan PBS-STAR akan menghalang pertembungan kerusi ketika pilihan raya kerana kedua-dua parti adalah komponen Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Ketika ini STAR mempunyai enam Adun manakala PBS tujuh. Kedua-dua parti itu adalah rakan gabungan dalam GRS, yang membentuk kerajaan negeri.
Sementara itu, Tony Paridi Bagang dari UiTM Sabah berkata masyarakat KDM memainkan peranan penting dalam mengimbangi dan menghalang parti lain daripada mewujudkan penguasaan politik di negeri ini.
“Masyarakat berpecah-belah kerana pemimpin mereka. Jika penggabungan itu menjadi kenyataan, ia akan mengurangkan puak dalam masyarakat,” katanya menambah kedua-dua pihak bagaimanapun perlu sedia berkompromi dan mendapatkan sokongan akar umbi.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram