HomeNewsBeritaBusinessLifestyleOpinionWorldSportsPropertyEducationCarzillaGalleryVideosAccelerator

Segera lulus pasukan kaji skim gaji penjawat awam, gesa Cuepacs

-

Cuepacs gesa Jemaah Menteri segera tubuh pasukan untuk mengkaji skim gaji perkhidmatan awam.

0
Shares
Total Views: 1
Free Malaysia Today
Presiden Cuepacs Adnan Mat mencadangkan gaji minimum perkhidmatan awam yang sesuai ialah RM1,800, selain kenaikan gaji tahunan RM180. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR:
Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menggesa Jemaah Menteri segera meluluskan cadangan menubuhkan pasukan yang akan mengkaji semula skim gaji perkhidmatan awam.

Presiden Cuepacs Adnan Mat berkata pihaknya bersedia untuk memberikan pandangannya kepada pasukan itu, agar syor yang dikemukakan nanti diterima penjawat awam.

Beliau juga berharap suatu tempoh masa yang tidak terlalu lama bagi pasukan ini memberikan dapatannya.

“Tempoh masa itu tidak boleh terlalu panjang supaya ia relevan dengan situasi persekitaran ekonomi semasa yang sentiasa berubah dengan mendadak. Apatah lagi peningkatan kos sara hidup yang begitu ketara ketika ini dan semua pihak terkesan dengan bebanan kos tersebut,” katanya lapor Bernama.

Free Malaysia Today
Adnan Mat.

Katanya, Cuepacs sebelum ini mencadangkan gaji minimum perkhidmatan awam yang sesuai ialah RM1,800, bagi menjamin penjawat awam dapat menjalani kehidupan dalam keadaan sedikit selesa dengan kenaikan kos sara hidup.

Adnan memaklumkan, antara cadangan Cuepacs bagi skim baharu gaji perkhidmatan awam adalah kenaikan gaji tahunan yang perlu ditambah baik ke RM180, kenaikan pangkat Jawatan Khas Untuk Penyandang (KUP) pertama 10 tahun dan KUP kedua, lapan tahun serta gred minimum perkhidmatan awam bermula gred 19.

Selain itu, peningkatan gred untuk Skim Perkhidmatan Pembantu Tadbir (PTPO) dan Pembantu Tadbir Kewangan ke Gred 29, sistem saraan perlu dikaji setiap lima tahun, peningkatan elaun bantuan sara hidup (Cola), menambah Imbuhan Tetap Perumahan kepada RM450 serta memperkenalkan elaun bandar raya sebanyak RM500.

Semalam, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata kerajaan akan mengkaji semula skim gaji perkhidmatan awam, dengan perbincangan mengenainya dibawa ke dalam mesyuarat Jemaah Menteri minggu depan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.