
Kumpulan itu juga menyeru polis supaya melindungi keselamatan Siti.
“Siti Kasim merupakan seorang peguam dan pembela hak orang asli yang peka, proaktif dan lantang bersuara tentang pelbagai isu hak asasi manusia, integriti institusi, demokrasi dan hal ehwal berkenaan dengan politik.
“Namun, pemikiran kritis dan pendirian progresif Siti sering diancam dengan kritikan serta ugutan yang ingin mengancam nyawanya,” kata kumpulan itu dalam kenyataan.
Kumpulan itu berkata, ancaman dan keganasan terhadap aktivis semakin berleluasa baru-baru ini, yang menurutnya suatu “trend yang amat membimbangkan”
.
“Seolah-olah apabila tidak bersependapat perlu digertak dengan kekerasan. Jika keganasan ini tidak ditangani oleh pihak berkuasa secara tegas, bukan sahaja keamanan dan keselamatan awam, tetapi juga kedaulatan undang-undang dan demokrasi tanah air akan tergugat,” tambahnya.
“Kementerian Dalam Negeri harus cakna terhadap trend ini dan bekerjasama dengan masyarakat sivil dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) bagi mencari penyelesaian untuk menjamin keselamatan dan kebebasan bersuara rakyat serta untuk mengelakkan trend sebegini merebak dan menjadi satu norma.
Mereka turut menggesa agar polis menjalankan siasatan yang telus dengan segera, serta mengambil tindakan sewajarnya termasuk menghadapkan pelaku ke muka pengadilan memandangkan kes ini melibatkan kepentingan awam.
“Tiada sesiapa termasuk aktivis patut menerima ugutan, intimidasi serta sebarang bentuk keganasan oleh kerana beliau menggunakan hak dan kebebasan bersuara yang termaktub bawah Perlembagaan Persekutuan,” kata mereka.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram