
Anwar yang juga menteri kewangan berkata dua dekad sebelum dan selepas 1998 menyaksikan ekonomi masih tertumpu pada aktiviti domestik tanpa benar-benar meraih manfaat pasaran global, manakala pertumbuhan yang lebih bergantung pada perbelanjaan isi rumah dan kerajaan menyebabkan sektor perdagangan hanya sebahagian kecil daripada ekonomi.
Beliau memberitahu hadirin di pelancaran kerangka Ekonomi Madani: Memperkasa Rakyat, bahawa Malaysia kini “terperangkap” dalam kitaran yang dicirikan dengan kos tinggi, gaji rendah, keuntungan rendah, dan kurang nilai daya saing.
Di peringkat rakyat, pendapatan yang tidak sepadan dengan ekonomi mengakibatkan separuh isi rumah terbawah terbeban dengan hutang. “Purata gaji dan upah tenaga kerja masih rendah yakni sekitar 35%.”
Anwar berterus-terang dengan hadirin, yang disertai Jemaah Menteri, agensi kerajaan, pakar ekonomi, dan tokoh industri bahawa apa yang diuar-uarkan dari cita-cita Wawasan 2020 tidak tercapai.
“Setelah mengambilkira keretakan struktur ekonomi yang ditambah dengan kelemahan tatakelola dan ketelanjuran elit pemerintah, ia menuntut kita melakukan perubahan atau anjakan yang bermakna,” katanya ketika berucap di Suruhanjaya Sekuriti, Kuala Lumpur.
“Amat dikesalkan andaikata terdapat kalangan yang mahu mempertahankan amalan bobrok dan dasar yang telah terbukti menyebabkan negara menggelongsor ke bawah atau hampir kecundang.
“Saya mahu mengajak semua rakan-rakan, pimpinan politik, pengusaha dan peniaga, penjawat awam, pekerja dan rakyat keseluruhannya untuk lebih jujur dan berani menerima kenyataan baharu. Kita perlukan sebuah wadah ekonomi yang tuntas dan segar. Kita perlukan sebuah kerangka ekonomi yang baharu.”
Anwar dalam penerangannya menyimpulkan bahawa kerangka Ekonomi Madani ini mahu menstruktur semula ekonomi ke arah menjadi peneraju ekonomi serantau, dan memberi limpahan hasil negara kepada rakyat.
Beliau menyifatkan kerangka itu sebagai suatu rencana bagi menghadapi isu-isu jangka panjang terkait daya saing dan daya tarikan negara, serta isu-isu semasa seperti kenaikan kos sara hidup.
Katanya, kerangka ini induk kepada dasar-dasar khusus yang bakal menyusul, antaranya Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional, Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030, dan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12.
Menerusi kerangka ini, Anwar menetapkan sasaran jangka pendek antaranya menoktahkan kemiskinan tegar tahun ini juga, dan sasaran jangka sederhana seperti peratusan pendapatan buruh mencapai 45% daripada jumlah keseluruhan pendapatan.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram