
Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, berkata tumpuan utama adalah untuk menstruktur semula ekonomi bagi menjadikan Malaysia sebagai peneraju ekonomi Asia.
“Jika kita hanya berpuas hati dengan keadaan sekarang, ekonomi akan terus mencatat pertumbuhan antara 4 hingga 5%.
“Namun, jika kita berusaha gigih dan melaksana pembaharuan, kita mampu mencapai 5.5%, malah saya percaya adalah tidak mustahil untuk kita menghasilkan pertumbuhan 6%,” katanya dalam ucapan pada majlis peluncuran Ekonomi Madani: Memperkasakan Rakyat.
Hadir sama Jemaah Menteri, agensi kerajaan, pakar ekonomi dan tokoh industri.
Anwar yang juga menteri kewangan berkata, negara perlu membentuk integrasi ekonomi lebih besar dengan negara jiran ketika dunia berdepan kekangan rantaian bekalan.
“Maka, kita perlu melahirkan lebih banyak syarikat tempatan yang berdaya saing tinggi untuk menembusi pasaran rantau Asean,” katanya.
Perdana menteri berkata, usaha kerajaan perlu melangkaui perjanjian perdagangan bebas.
“Misalnya melalui diplomasi perdagangan dan pengaturan strategik yang boleh mengembangkan integrasi pasaran bilateral dan multilateral serta memudahkan pergerakan barang, modal, modal insan dan perkongsian teknologi dengan negara jiran,” katanya.
Selain meletakkan Malaysia sebagai antara 30 ekonomi terbesar dunia, Anwar berkata Ekonomi Madani juga menetapkan enam penanda aras lain yang mahu dicapai dalam tempoh 10 tahun.
Ia termasuk Indeks Daya Saing Global berada di tangga ke-12 teratas dunia, peratusan pendapatan buruh mencapai 45% daripada jumlah keseluruhan pendapatan (sasaran RMK-12 adalah 40% menjelang 2025), kadar penyertaan wanita dalam tenaga buruh mencapai 60%, Indeks Pembangunan Manusia berada di tangga 25 teratas dunia, Indeks Persepsi Rasuah di tangga 25 teratas dunia dan kemampanan fiskal dengan defisit fiskal mencapai 3% atau lebih rendah.
Ganjaran kepada syarikat
Beliau berkata, kerajaan akan memperkenalkan insentif cukai berasaskan pencapaian bagi mendukung dan memberi ganjaran kepada syarikat yang menumpukan aktiviti berdampak tinggi.
“Kita mesti melaksanakan pembaharuan supaya Malaysia dapat tergolong antara 12 ekonomi terbaik di dunia dari segi daya saing dan kemudahan menjalankan perniagaan.
“Kita perlu memperhebat usaha bagi memastikan lebih banyak lagi memilih Malaysia sebagai destinasi pelaburan,” katanya sambil mengiktiraf komitmen pelaburan antaranya oleh Sumitomo Corporation, Tesla, Geely, Rongsheng dan Samsung Engineering.
Dalam usaha merangsang ekonomi tempatan, Anwar berkata syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) perlu terus memacu pelaburan langsung domestik, dan menyokong pembangunan vendor tempatan dalam sektor strategik seperti elektrik dan elektronik, ekonomi digital dan aeroangkasa.
Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan bersama dengan GLIC akan melabur dana tambahan sebanyak RM1 bilion secara padanan dengan dana swasta bagi menyokong syarikat pemula tempatan dan mendorong usahawan teknologi.
Geran padanan digitalisasi akan ditambah sebanyak RM100 juta bagi membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana menyegerakan peralihan model perniagaan kepada lebih digital, katanya.
Menurutnya, kerajaan akan turut menambah peruntukan RM400 juta untuk pinjaman mikro bawah agensi termasuk SME Corporation, Tekun, Mara dan Teraju bagi mendukung peluang keusahawanan.
Katanya, keutamaan kerajaan dalam tempoh terdekat adalah untuk membina semula kapasiti fiskal negara, sambil menyatakan peratusan hasil cukai ketimbang (berbanding) keluaran dalam negara kasar menurun kepada 12% – paling rendah dalam kalangan negara serantau.
“Walaupun pembaharuan fiskal diperlukan, kerajaan menjamin tidak akan sekali-kali mengabaikan nasib rakyat dalam menghadapi cabaran kos sara hidup dan akan terus menyediakan bantuan kepada mereka yang memerlukan,” katanya.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram