
Setiausaha Agungnya, Takiyuddin Hassan, berkata sebagai presiden rakan gabungan PAS dalam Perikatan Nasional (PN) dan calon PRN, kehadiran Lau perlu “dihargai sebagai tetamu”.
“PAS merakamkan rasa kurang selesa sekali gus meminta maaf atas insiden melibatkan Lau yang dilihat tidak dialu-alukan ke majlis Ceramah Mega PN Best di Tasek Gelugor, Pulau Pinang, yang turut dihadiri oleh presiden PAS baru-baru ini.
“Bagi pihak kepimpinan PAS Pusat, saya percaya kehadiran beliau perlu diterima dan dihargai sebagai tetamu berdasarkan akhlak dan prinsip-prinsip Islam,” katanya dalam kenyataan.
Semalam, Timbalan Presiden Gerakan Oh Tong Keong menggesa PAS menjelaskan punca presidennya Lau dihalang menghadiri ceramah parti tu di Sungai Dua.
Video oleh Malaysiakini menunjukkan Lau dihalang seorang pemimpin PAS Pulau Pinang daripada mengikuti naib presiden parti itu Idris Ahmad ke atas pentas. Apabila ada yang memprotes, kedengaran pemimpin PAS berkata kepada Lau “Tak boleh (Tidak boleh). You go away.”
Selain itu, Takiyuddin berkata PAS sedar politik gabungan cenderung menimbulkan rasa tidak puas hati, terutamanya dalam isu pembahagian kerusi dan pemilihan calon.
Bagaimanapun, beliau menggesa agar ahli dan penyokong PAS meletakkan kepercayaan kepada kepimpinan parti diketuai Presiden Hadi Awang, dan menerima keputusan kepimpinan dengan hati terbuka.
“Saya menyeru ahli-ahli PAS berkaitan supaya menyedari bahawa bantahan berterusan dan tindak-tanduk yang berlawanan dengan kepentingan parti bukan sahaja berkemungkinan menimbulkan suasana tidak harmoni dalam gabungan PN, malah turut mencabar dan mempersoalkan kebijaksanaan serta ketepatan keputusan presiden PAS sendiri,” katanya.
Sebelum ini, pencalonan Lau di DUN Bayan Lepas dikatakan mengecewakan akar umbi PAS di kerusi majoriti Melayu itu.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram