
Amirudin yang menggantikan Azmin pada 2018 berpendapat sikap mahu menguruskan semua perkara umpama penghalang bagi bekas timbalan presiden PKR itu untuk diangkat sebagai ketua.
Menurut Amirudin, kaedah Azmin mentadbir secara “micromanage’ menyebabkannya lambat membuat keputusan penting dan sangat berhati-hati seperti membuat pengiraan matematik.
“Teliti…tetapi untuk menjadi pemimpin kita kena memberi kepercayaan kepada orang bawahan dan pasukan. Dengan kepercayaan itu sebenarnya kita boleh ke depan,” katanya dalam edisi terbaru podcast Keluar Sekejap dihoskan Khairy Jamaluddin (KJ) dan Shahril Hamdan.
Azmin, memegang jawatan menteri besar Selangor 2014-2018 sebelum dilantik menteri hal ehwal ekonomi ketika pentadbiran Dr Mahathir Mohamad.
Pada 2020, beliau keluar PKR untuk menyertai Bersatu menerusi Langkah Sheraton sekali gus menyokong kerajaan pentadbiran Pengerusi Perikatan Nasional Muhyiddin Yassin dan dilantik dalam Jemaah Menteri oleh Muhyiddin dan Ismail Sabri Yaakob.
Pada PRU15, beliau tewas kepada Amirudin dengan majoriti lebih 12,000 undi di Parlimen Gombak. Azmin bertanding di DUN Hulu Kelang menentang Timbalan Ketua Wanita PKR Juwairiya Zulkifli pada PRN.
Dalam pada itu, Amirudin mengakui namanya mungkin tidak sehebat Azmin dan juga menteri besar terdahulu Khalid Ibrahim, namun beliau mengambil pendekatan bekerja sebagai satu pasukan untuk mendapat hasil terbaik.
“Pendekatan saya buat rasa beza dengan Khalid dan Azmin, saya jarang memperkenalkan diri saya, sebalik saya membawa nama Selangor dan juga pasukan,” katanya.
Beliau juga meletakkan keutamaan rakyat apabila bekerjasama erat dengan Khairy, Ismail Sabri dan Hamzah Zainudin yang memimpin ketika negara dilanda Covid-19.
“Saya tahu keutamaan ketika itu adalah untuk tangani kes Covid-19. Di Malaysia ini kalau kita buat kerja bersungguh-sungguh elakkan kontroversi bukan-bukan orang akan hargai kalau bukan sekarang pun bila masa kita dah ‘tiada’,” katanya.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram