
Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia berkata, tindakan tegas diambil terhadap mereka yang dikatakan mendesak agenda LGBTQ, termasuk rampasan jam tangan koleksi Pride Swatch, gagal meyakinkan pengundi Melayu.
“Majoriti orang Melayu masih curiga dengan DAP, walaupun sejak kebelakangan ini parti itu dilihat lebih sederhana dalam menangani isu politik,” katanya kepada FMT.
Presiden PAS, Hadi Awang sebelum ini menuduh pemimpin DAP menyokong agenda LGBT, manakala pembangkang pula sering mendakwa DAP menguasai Pakatan Harapan (PH).
Mazlan percaya Anwar dan Umno memerlukan lebih banyak masa sebelum PRN untuk memulihkan keyakinan orang Melayu melalui pembaharuan dasar.
Beliau mengulas keputusan PRN enam negeri Sabtu lalu yang menyaksikan Perikatan Nasional meraih majoriti di Kedah, Terengganu dan Kelantan sambil mencapai kemajuan di Pulau Pinang, Selangor serta Negeri Sembilan yang dikuasai PH.
Azmi Hassan dari Akademi Nusantara berkata, tindakan diambil terhadap Swatch dan cara kerajaan menangani isu Good Vibes Festival “tidak penting” buat majoriti pengundi Melayu, yang sebahagian besarnya tinggal di kawasan luar bandar.
Festival itu mencetuskan kontroversi selepas vokalis sebuah kumpulan rock UK mencium rakan kumpulan lelakinya dan mengkritik undang-undang anti-LGBT di Malaysia. Kerajaan membatalkan festival muzik itu serta-merta dan menyenaraihitamkan kumpulan terbabit daripada membuat persembahan di Malaysia.
Azmi berkata, isu sedemikian hanya penting kepada pengundi bandar.
“Ia memerlukan lebih daripada tindakan tegas selepas Good Vibes Festival dan serbuan kedai Swatch atas alasan agama untuk menarik minat orang Melayu. Ini tidak cukup untuk menunjukkan Putrajaya membela orang Melayu atau Islam.”
Azmi berkata, PAS “sangat bagus” dalam menggunakan agama untuk memikat pengundi Melayu, dengan parti itu sinonim dengan Islam di negeri seperti Kedah, Kelantan, Terengganu dan Perlis.
Penyokong mereka percaya parti itu boleh dipercayai untuk menegakkan nilai dan ajaran Islam disebabkan persepsi pemimpin mereka “bersih” berbanding rakan sejawat mereka dalam PKR, Umno dan Amanah.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram