HomeNewsBeritaBusinessLifestyleOpinionWorldSportsPropertyEducationCarzillaGalleryVideosAccelerator

Reezal Merican bakal timbalan ketua menteri P Pinang?

-

Bagaimanapun, pelantikan bekas menteri itu dijangka menimbulkan rasa tak puas hati PKR yang diberikan jawatan itu sejak 2008.

0
Shares
Total Views: 1
Free Malaysia Today
Reezal Merican Naina Merican dari Umno memenangi DUN Bertam dalam PRN Sabtu lalu.

GEORGE TOWN:
Bekas menteri persekutuan, Reezal Merican Naina Merican dari Umno mungkin dilantik timbalan ketua menteri I dalam kerajaan Pulau Pinang pimpinan Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN).

Namun, pelantikan Reezal, yang memenangi kerusi Bertam Sabtu lalu, mungkin menimbulkan rasa tidak puas hati PKR, menurut sumber.

Lazimnya, dua jawatan timbalan ketua menteri – untuk mengiktiraf rakan tadbir kanan dan kumpulan etnik utama – sebelum ini dikhaskan kepada PKR dan DAP.

Ia juga lazimnya diberikan kepada orang Melayu dan India.

Timbalan Pengerusi PKR Pulau Pinang, Bakhtiar Wan Chik menafikan Reezal dilantik ke jawatan itu selepas poster ucapan tahniah atas pelantikannya tersebar di media sosial kerana tiada keputusan dibuat setakat ini.

Sebelum ini, timbul spekulasi jawatan timbalan ketua menteri I akan diberikan kepada Mohammad Abdul Hamid atau S Sundarajoo.

Seorang wakil rakyat PKR biasanya diberikan jawatan itu, manakala yang kedua dikhaskan untuk Adun DAP.

Seorang pemimpin PKR yang enggan dinamakan berkata, salah satu cara untuk menenangkan Umno dan PKR dalam hal ini adalah menghapuskan kedua-dua jawatan itu dan mencontohi cara Selangor yang mengiktiraf rakan tadbir kanan melalui gelaran “exco kanan”.

Sumber PKR berkata, pilihan lain ialah mencontohi Sabah dengan memperkenalkan timbalan ketua menteri ketiga.

Malam tadi, Setiausaha Agung DAP, Loke Siew Fook mengesahkan seorang Adun BN akan menganggotai kerajaan Pulau Pinang.

Penyertaan seorang Adun BN mungkin memberi impak kepada nisbah dalam barisan 10 Exco Pulau Pinang. Sejak 2008, tujuh daripada Exco itu dari DAP, manakala tiga lagi dari PKR.

Sumber memberitahu FMT, portfolio tanah hampir pasti dipegang ketua menteri, mengikut kelaziman. Portfolio utama lain seperti kerajaan tempatan, perumahan, pengangkutan dan utiliti awam dijangka diberikan kepada Adun DAP. Hal ehwal Islam sebelum ini diberikan kepada wakil rakyat PKR.

Exco yang mungkin diberi keutamaan adalah Adun berkhidmat dua penggal atau lebih, termasuk Daniel Gooi, Ong Ah Teong dan Heng Lee Lee dari DAP. Goh Choon Aik, Gooi Hsiao Leung dan Kumaresan Aramugam dari PKR mungkin dipertimbangkan juga.

Majlis angkat sumpah Exco akan diadakan di Seri Mutiara, kediaman Yang di-Pertua Negeri pada Rabu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.