HomeNewsBeritaBusinessLifestyleOpinionWorldSportsPropertyEducationCarzillaGalleryVideosAccelerator

Gali tanah kerajaan secara haram, kontraktor mengaku tak salah

-

Ee Tze Shien didakwa melakukan kesalahan tersebut di Kampung Bolok, Mukim Semantan, Temerloh, pada 13 April lepas.

0
Shares
Total Views: 1
Free Malaysia Today
Kontraktor Ee Tze Shien (kanan), 38, hari ini mengaku tidak bersalah atas tuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Jamaludin Mat di Mahkamah Sesyen Temerloh. (Gambar Bernama)

TEMERLOH:
Seorang kontraktor dihadapkan ke Mahkamah Sesyen hari ini atas tuduhan menggali tanah milik kerajaan secara haram di Kampung Bolok di sini April lepas.

Ee Tze Shien, 38, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas tuduhan itu yang dibacakan di hadapan Hakim Jamaludin Mat.

Dia didakwa melakukan kesalahan tersebut di Kampung Bolok, Mukim Semantan di sini pada 2.05 petang, 13 April lepas.

Tuduhan dibuat mengikut Seksyen 425(1)(b) Kanun Tanah Negara Akta 828 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara maksimum lima tahun, jika sabit kesalahan.

Pada prosiding hari ini, Pegawai Pendakwa dari Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) Muhammad Taqiyuddin Azizan menawarkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, peguam Mazura Ismail yang mewakili Ee, merayu jumlah itu dikurangkan atas alasan kewangan tertuduh yang tidak dapat bekerja kerana jentera disita selepas kejadian tersebut.

“Walaupun tidak mempunyai pendapatan sejak empat bulan lepas, tertuduh tetap menanggung sewaan jentera dan mesin kepada pemiliknya selain masih membayar gaji pekerja,” katanya.

Mazura juga memaklumkan tertuduh yang beralamat di Mentakab tidak berisiko untuk melarikan diri kerana mempunyai isteri dan anak di daerah ini.

Jamaludin membenarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin beserta syarat pasport diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai dan menetapkan sebutan semula kes pada 5 Okt ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.