HomeNewsBeritaBusinessLifestyleOpinionWorldSportsPropertyEducationCarzillaGalleryVideosAccelerator

PBD kurang berkesan nilai 3M, ahli akademik cadang kembalikan UPSR

-

Anuar Ahmad dari UKM berkata kaedah PBD sangat bergantung kepada penilaian guru dalam pemberian markah, dan pemarkahan yang dibuat berpotensi besar tidak telus.

0
Shares
Total Views: 1
Free Malaysia Today
Anuar Ahmad mendakwa kerajaan memansuhkan UPSR secara tergesa-gesa pada 2021. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA:
Seorang ahli akademik berpandangan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) wajar dikembalikan semula kerana kaedah penilaian menggantikannya kurang berkesan menilai penguasaan 3M (membaca, mengira dan menulis).

Anuar Ahmad dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) menggantikan UPSR sejak dua tahun lalu sangat bergantung kepada guru dalam pemberian markah dan boleh menyebabkan penilaian tidak telus.

“Memansuhkan UPSR dan menggantikan dengan PBD tidak akan selesaikan isu keciciran sebab ada banyak ruang-ruang tidak terisi, ini kerana ia konsep lain dalam pentaksiran.

“UPSR satu ujian berpusat standard untuk kita tahu berapa orang yang masih belum boleh membaca, mengira dan menulis supaya dapat intervensi,” katanya pada wacana bertajuk “Selepas 66 tahun, ke mana arah tuju pendidikan kita?” anjuran NGO i-Guru.

Free Malaysia Today
Anuar Ahmad.

Anuar berkata timbul juga masalah dari segi pemarkahan kerana ada guru bimbang mungkin ‘disiasat’ cara pengajarannya, jika mereka meletakkan tahap penguasaan (TP) minimum iaitu antara satu hingga dua, manakala tertinggi tahap enam.

“Mereka akan disiasat adakah tak pandai mengajar, mana-mana guru pun yang rasional atau waras pasti jaga kepentingan diri sendiri dahulu kerana bekerja,” katanya.

Anuar berkata 3M adalah kunci kepada pendidikan berkualiti dan jika tidak ditangani isu keciciran di peringkat rendah, akan memberi kesan kepada keputusan peperiksaan awam dalam tempoh 10 tahun akan datang.

“Tanpa menguasai 3M di sekolah rendah, anak itu bila naik ke sekolah menengah dia tak akan jadi seorang yang baik dan sempurna (keciciran).

“Badan-badan dunia menetapkan piawaian kanak-kanak mesti menguasai 3M sebelum umur 10 tahun, kalau lepas 10 tahun masih belum menguasai 3M maksudnya sistem pendidikan negara itu tidak begitu baik,” katanya.

Beliau juga berpendapat langkah memansuhkan UPSR pada 2021 agak tergesa-gesa kerana ekosistem pendidikan negara belum bersedia mengamalkan modul pembelajaran PBD seperti di negara maju.

Menurutnya, ramai guru di bawah KPM masih guru-guru bukan opsyen dan ia dilihat menjejaskan kualiti pengajaran subjek yang bukan dalam kepakarannya.

“Kalau kita pergi ke negara maju, untuk jadi guru di sekolah rendah mesti sekurang-kurangnya ada sarjana pendidikan, mesti pakar dan terpilih dari 5% yang terbaik daripada peperiksaan awam,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.