HomeNewsBeritaBusinessLifestyleOpinionWorldSportsPropertyEducationCarzillaGalleryVideosAccelerator

Guna bahasa lain di sekolah vernakular tak bercanggah Perlembagaan

-

Peguam Kanan Persekutuan Liew Horng Bin berkata penggunaan bahasa lain diiktiraf dari segi sejarah dan jelas diperuntuk dalam Perkara 152 Perlembagaan.

0
Shares
Total Views: 1
Free Malaysia Today
Mappim, Gapena, Isma dan Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (I-Guru) merayu keputusan Mahkamah Tinggi memohon deklarasi Seksyen 17 dan Seksyen 28 Akta Pendidikan 1996 adalah tidak konsisten dengan Perkara 152 Perlembagaan. (Gambar fail)

PUTRAJAYA:
Penggunaan bahasa lain sebagai bahasa pengantar di sekolah rendah vernakular tidak bercanggah Perlembagaan Persekutuan kerana bahasa kebangsaan diajar sebagai mata pelajaran wajib.

Peguam Kanan Persekutuan Liew Horng Bin, yang mewakili menteri pendidikan dan kerajaan Malaysia, berhujah bahawa semua sekolah terbabit juga perlu mematuhi sukatan mata pelajaran sama.

Beliau berkata, penggunaan bahasa lain sebagai bahasa pengantar di sekolah vernakular diiktiraf dari segi sejarah dan diperuntuk secara jelas dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan.

Liew berkata, pemeriksaan terperinci ke atas dokumen dan peristiwa bersejarah berkaitan adalah penting untuk pemahaman yang betul mengenai Perkara 152.

“Kita dibentuk oleh sejarah, sejarah adalah siapa diri kita dan mengapa kita adalah kita,” katanya di hadapan panel tiga hakim yang mendengar rayuan Majlis Pembangunan Pendidikan Islam Malaysia (Mappim), Gabungan Persatuan Penulis Malaysia (Gapena), Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) dan Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (I-Guru) terhadap keputusan Mahkamah Tinggi.

Liew berkata, hasrat Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan adalah untuk meletakkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan pada masa sama, memelihara serta mengekalkan penggunaan bahasa lain dalam sistem pendidikan.

Beliau berkata justeru, relief dipohon Mappim, Gapena, Isma, dan I-Guru adalah bertentangan dengan hasrat penggubalnya berdasarkan sejarah Perlembagaan, selain memusnahkan tonggak asas keseimbangan Perlembagaan negara ini.

Rayuan itu didengar oleh Supang Lian, M Gunalan, dan Azizul Azmi Adnan.

Pada 29 Dis 2021, Hakim Mahkamah Tinggi Nazlan Ghazali (kini hakim Mahkamah Rayuan) menolak saman Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Mappim, Gapena, dan Isma. GPMS bagaimanapun tidak memfailkan rayuan.

Nazlan memutuskan kewujudan dan penubuhan sekolah vernakular serta penggunaan bahasa Mandarin dan Tamil di sekolah terbabit adalah sah serta berperlembagaan.

Pada 29 Mei tahun lalu, Pesuruhjaya Kehakiman Abazafree Mohd Abbas (kini hakim Mahkamah Tinggi) turut memutuskan bahawa kewujudan sekolah vernakular adalah sah dan berperlembagaan ketika beliau menolak saman I-Guru.

Menerusi saman difailkan pada Disember 2019, GPMS, Mappim, Gapena, dan Isma menamakan beberapa pihak termasuk kerajaan, kumpulan pendidik Cina Dong Zong dan Jiao Zong, Persatuan Thamizhar Malaysia serta Persatuan Tamilar Thurunal (Perak).

I-Guru pula, yang menamakan menteri pendidikan dan kerajaan Malaysia, memohon deklarasi bahawa Seksyen 17 dan Seksyen 28 Akta Pendidikan 1996 adalah tidak konsisten dengan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan dan oleh itu, adalah terbatal serta tidak mempunyai kesan.

Majlis Bahasa Cina Malaysia, Persatuan Tamil Neri Malaysia, Gabungan Persatuan Bekas Pelajar Sekolah Tamil Malaysia, MCA, dan Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) telah dibenarkan mencelah dalam saman yang difailkan oleh I-Guru.

Pada prosiding hari ini, mahkamah turut mendengar hujah peguam Shaharudin Ali yang mewakili I-Guru dan Bastian Vendargon yang mewakili Majlis Bahasa Cina Malaysia, Persatuan Tamil Neri Malaysia serta Gabungan Persatuan Bekas Pelajar Sekolah Tamil Malaysia.

Shaharudin berkata, berdasarkan pelan tindakan pendidikan kerajaan yang terkini, hampir 100% pelajar Cina pergi ke sekolah jenis kebangsaan Cina, manakala enam daripada 10 pelajar India ke sekolah jenis kebangsaan Tamil.

Beliau berhujah adakah perpecahan seperti ini boleh menyumbang kepada pembangunan negara yang kukuh, bersatu dan harmoni.

Vendargon pula berhujah Nazlan tidak terkhilaf apabila beliau memutuskan bahawa peruntukan berkaitan dalam Akta Pendidikan 1996 tidak bercanggah dengan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan.

Supang Lian kemudian menetapkan 29 Ogos untuk pengurusan kes bagi menentukan tarikh seterusnya bagi pendengaran rayuan itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.