HomeNewsBeritaBusinessLifestyleOpinionWorldSportsPropertyEducationCarzillaGalleryVideosAccelerator

Johor mundur jika ikut Islam ala PAS, kata Nur Jazlan

-

Ahli MKT Umno berkata tidak mungkin rakyat Johor menerima budaya Islam ala PAS untuk meresap masuk ke dalam masyarakat.

0
Shares
Total Views: 1
Free Malaysia Today
Nur Jazlan Mohamed berkata acuan Islam ala PAS menjadi punca ia ketinggalan dari semua segi termasuk ekonomi dan pembangunan. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA:
Johor akan mundur dari semua segi sama ada ekonomi, pembangunan, sosial dan syiar Islam jika mengikut corak pemerintahan ala PAS, kata Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Nur Jazlan Mohamed.

Beliau berkata, acuan Islam ala PAS yang diumpamakan seperti “kerajaan Iran dan Taliban” itu akan menyebabkan Johor ketinggalan dan tidak sesuai dengan negeri itu.

“Dari sudut pendidikan agama, sistem sekolah agama di Johor lebih terkedepan kalau nak dibandingkan dengan sistem pendidikan Islam di Kelantan walaupun negeri itu digelar Serambi Mekah.

“Dari segi ekonomi pula tak payahlah saya cerita panjang lebar sebab semua sedia maklum dengan kemajuan negeri Johor sebagai pintu masuk utama selatan tanahair. Pelbagai kemajuan dan projek pembangunan untuk kesejahteraan rakyat telah serta terus dilaksanakan oleh kerajaan negeri yang diterajui oleh Umno.

“Manakala di Kelantan yang diperintah sejak lebih 30 lalu, apa kemajuan yang parti Islam itu nak banggakan? Masalah keperluan asas rakyat iaitu isu pun tak boleh nak selesaikan apatah lagi nak sembang tinggi melangit tentang ekonomi dan pelaburan negeri,” katanya di Facebook.

Selain itu, Nur Jazlan berkata kemajuan ekonomi di negeri itu terbukti apabila ramai rakyat Kelantan datang mencari rezeki di Johor kerana peluang pekerjaan luas berbanding Kelantan.

“Lagipun kalau mereka tak keluar merantau dari Kelantan, apakah peluang pekerjaan yang disediakan oleh kerajaan PAS untuk mereka?

“Bagi saya, Islam ala PAS yang buatkan Kelantan ketinggalan dari semua segi. Sebab pemimpin mereka hanya sibuk bawa politik taasub dan pembasuhan minda rakyat semata-mata nak kekal berkuasa. Sedangkan urus tadbir dan tatakelola negeri ke laut,” katanya.

Ketua Umno Pulai itu berkata, tidak mungkin untuk rakyat Johor menerima budaya Islam ala PAS untuk meresap masuk ke dalam masyarakat.

Katanya, cubaan PAS membawa “Gelombang Hijau” juga pernah dilenyapkan oleh “Gelombang Merah Biru Bangsa Johor” pada PRN Johor sebelum ini.

“Orang Johor tak benarkan politik jumud PAS yang bertopengkan agama untuk bertapak kukuh di sini. Saya yakin pengundi-pengundi di DUN Simpang Jeram dan Parlimen Pulai sekali lagi akan hukum ketaksuban politik yang cuba dibawa PAS,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.