
Ketua Polis Ipoh, Yahaya Hassan berkata pihaknya menerima maklumat orang awam pada 10.45 pagi tadi memaklumkan seorang lelaki dipercayai warga asing tertimbus dalam runtuhan itu.
“Polis melancarkan operasi mencari dan menyelamat bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) serta agensi lain di lokasi runtuhan.
“Operasi dijalankan dengan pemantauan pergerakan batu di lokasi kejadian oleh pakar cerun dari JMG,” katanya menurut Harian Metro.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi JBPM Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata mangsa dipercayai tertimbus bersama jentera berat dikendalikannya.
Katanya, kerja membawa keluar mangsa dihentikan sementara kerana masih ada batu jatuh dari tebing.
“Tangan mangsa tersepit di bawah jentera dan belum dapat dikeluarkan. Justeru, kerja membawa keluar mangsa dihentikan sementara akibat runtuhan susulan.”
Sementara itu, Pengarah JBPM Perak, Sayani Saidon berkata mayat Sohail Sajjad, 36, berjaya dikeluarkan dalam keadaan sempurna pada 2.36 petang, sebelum dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun.
Beliau difahamkan sebelum kejadian, mangsa bersama dua rakannya yang juga warga Pakistan sedang menggunakan jentera itu bagi mengalihkan batu-batuan di tapak berkenaan.
“Dimaklumkan ada runtuhan kecil dan mereka diarah meninggalkan kawasan tersebut. Mangsa bersama dua kawannya telah keluar, cuma mangsa ini berpatah balik kerana dikatakan ada barang dia tertinggal di situ.
“Dalam cubaan dia mengambil (barang) itulah runtuhan berlaku dan mangsa dalam usaha cuba menyelamatkan dirinya, berlindung di bawah mesin pengorek itu.
“Kami jumpa mangsa tadi memang masih di bawah mesin pengorek tertimbun dengan batu-batuan dan tangannya terlekat pada celah mesin itu.”
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram