HomeNewsBeritaBusinessLifestyleOpinionWorldSportsPropertyEducationCarzillaGalleryVideosAccelerator

DNAA Zahid bukan penentu PRK Johor, kata penganalisis

-

Simpati kepada Salahuddin Ayub dilihat lebih memberi kesan pada pengundian Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram.

0
Shares
Total Views: 1
Free Malaysia Today
Majoriti pengundi memihak calon mewakili kerajaan perpaduan walaupun timbul penentangan terhadap Zahid Hamidi yang lepas tanpa bebas daripada 47 pertuduhan.

PETALING JAYA:
Kes Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi dilepas tanpa dibebaskan daripada pertuduhan rasuah tidak terlalu memberi kesan kepada keputusan PRK Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram semalam, kata penganalisis.

Isnin lalu, presiden Umno itu dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) melibatkan 47 pertuduhan rasuah, pecah amanah jenayah, dan pengubahan wang.

DNAA itu menyaksikan Jabatan Peguam Negara (AGC) dikritik parti politik kerajaan dan pembangkang, aktivis, penganalisis politik, dan warganet, selain desakan segera melaksanakan reform sistem perundangan.

Ahmad Fauzi Hamid dari Universiti Sains Malaysia (USM), berkata walaupun DNAA Zahid memainkan peranan dalam keputusan PRK itu namun tidak menjadi faktor pemutus – yang mana dua kerusi tersebut dimenangi Pakatan Harapan (PH).

 

Free Malaysia Today
Ahmad Fauzi Hamid.

“Saya boleh katakan DNAA pastinya ada memberi impak, namun tidaklah sampai ke tahap yang kita lihat di kawasan lingkaran Melayu,” katanya.

Mengambil maklum sejumlah besar bukan Melayu di Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram, Fauzi juga menggariskan pendirian pro-PH di Johor.

“Diketahui Sultan Johor secara umumnya menyokong dasar ditekankan kerajaan perpaduan dan Perdana Menteri Anwar Ibrahim,” katanya.

Free Malaysia Today
James Chin.

Seorang lagi penganalisis, James Chin dari University of Tasmania, berkata keputusan PRK semalam memperlihat DNAA Zahid bukan isu utama di dua kawasan yang dimenangi PH menerusi wakil Amanah.

“Apabila wakil rakyat meninggal dunia (Salahuddin Ayub), ia terikat undi simpati (kepada parti penyandang) selepas itu. Jadi, rakyat tidak sepatutnya menggunakan PRK sebagai barometer menghakimi (sama ada DNAA Zahid menjadi faktor),” katanya.

Zahid dituduh menggelapkan jutaan ringgit daripada yayasannya, Yayasan Akalbudi, dan menerima rasuah pelbagai projek ketika menjadi menteri dalam negeri, antara 2013 hingga 2018.

Permohonan DNAA dibuat pihak pendakwaan walaupun Mahkamah Tinggi memutuskan pada Januari tahun lalu terdapat prima facie terhadapnya.

Semalam, Suhaizan Kayat menewaskan calon Perikatan Nasional (PN) Zulkifli Jaafar di Pulai, manakala Nazri Abdul Rahman menang Simpang Jeram selepas menumpaskan calon PN, Dr Mazri Yahya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.