Disyaki terima rasuah RM600,000, 5 penguat kuasa antara ditahan

Disyaki terima rasuah RM600,000, 5 penguat kuasa antara ditahan

Mereka antara 10 individu ditahan SPRM semalam kerana menerima sogokan disyaki sebagai balasan melindungi kegiatan perjudian di Sarawak.

Semua suspek direman empat hari hingga Sabtu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009. (Gambar SPRM)
PETALING JAYA:
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan 10 individu termasuk lima pegawai penguat kuasa di Kuching semalam kerana disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM600,000 daripada lima individu berbeza.

Sumber berkata, wang sogokan itu disyaki sebagai balasan bagi melindungi dan tidak mengambil tindakan undang-undang ke atas kegiatan perjudian di negeri ini.

Katanya, semua suspek lelaki berusia 20-an hingga 40-an ditahan antara 4 petang hingga 11 malam semalam dalam operasi khas di Sibu dan Kuching.

“Semua pegawai penguat kuasa itu dipercayai melakukan kesalahan kerana melindungi aktiviti perjudian sejak 2019 lagi,” katanya menurut Harian Metro.

Menurutnya, semua suspek direman empat hari hingga Sabtu ini bagi membantu siasatan.

Sementara itu, Pengarah SPRM Sarawak, Mohd Zaki Hassan, ketika dihubungi mengesahkan penahanan semua individu terbabit dan memaklumkan siasatan dibuat mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.