HomeNewsBeritaBusinessLifestyleOpinionWorldSportsPropertyEducationCarzillaGalleryVideosAccelerator

Henti siasatan, pendakwaan terpilih isu 3R, gesa Muhyiddin

-

Muhyiddin Yassin mempersoalkan mengapa beliau disiasat polis kerana menyuarakan keresahan orang Melayu dan masyarakat Islam berbanding pemimpin kerajaan.

0
Shares
Total Views: 9,035
Free Malaysia Today
Muhyiddin Yassin membidas siasatan terhadapnya kerana menyuarakan isu orang Melayu dan Islam. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR:
Muhyiddin Yassin (PN-Pagoh) menggesa kerajaan menghentikan siasatan dan pendakwaan terpilih ke atas pemimpin pembangkang atas alasan isu kaum, agama dan raja (3R) yang didakwa cuba menutup mulut rakyat.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu mempersoalkan mengapa beliau sering disiasat polis hanya kerana menyuarakan keresahan orang Melayu dan masyarakat Islam, berbanding pemimpin kerajaan.

Terbaru, dua kertas siasatan dibuka terhadap Muhyiddin susulan kenyataan “fatwa” haram mengundi calon Pakatan Harapan (PH) dan orang Melayu hilang kuasa.

“Pemimpin di sebelah sana yang mengeluarkan kenyataan-kenyataan jahat yang jelas mengapikan sentimen perkauman langsung tidak disentuh walaupun puluhan malah ratusan laporan polis dibuat ke atas mereka.

“Adakah saya sebagai pemimpin Melayu dianggap sebagai penjenayah semata-mata kerana menyuarakan kepentingan orang Melayu dan Islam,” katanya membahaskan pembentangan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12 di Dewan Rakyat.

Selain Muhyiddin, pemimpin Perikatan Nasional (PN) yang turut disiasat berkaitan kesalahan 3R termasuk Presiden PAS Abdul Hadi Awang, beliau dipercayai mempertikaikan kuasa Lembaga Pengampunan dalam ceramahnya pada kempen PRK Simpang Jeram, 26 Ogos lalu.

Sebelum itu, Pengarah Pilihan Raya PN Sanusi Nor yang juga menteri besar Kedah pada Julai lalu didakwa atas dua pertuduhan membuat kenyataan hasutan terhadap raja.

Semalam, polis merakam keterangan Muhyiddin dipercayai berkaitan tuduhan bekas perdana menteri itu menyentuh isu 3R menjelang PRK Johor pada 9 Ogos lalu.

Difahamkan, pegawai polis mengambil keterangan pengerusi PN itu di bangunan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) di Kuala Lumpur.

Pada 9 September lalu, Timbalan Ketua Polis Negara Ayob Khan Mydin Pitchay berkata dua kertas siasatan dibuka terhadap Muhyiddin susulan kenyataan “fatwa” haram mengundi calon Pakatan Harapan (PH) dan orang Melayu hilang kuasa.

Pada minggu lalu, Muhyiddin dalam satu ceramah dilaporkan berkata “haram” mengundi calon PH di PRK Parlimen Pulai Suhaizan Kayat.

Muhyiddin kemudiannya menjelaskan beliau hanya berkias menyebut “saya bagi hukum haram” dan bukan berniat ia adalah fatwa atau hukum syarak.

Beliau juga mendakwa kenyataannya itu dipetik di luar konteks dan dimanipulasi untuk mengelirukan orang ramai.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.