HomeNewsBeritaBusinessLifestyleOpinionWorldSportsPropertyEducationCarzillaGalleryVideosAccelerator

Kes gugur: Beri penjelasan telus, Guan Eng beritahu peguam negara

-

Lim Guan Eng berkata penjelasan itu bagi meyakinkan rakyat termasuk Majlis Peguam yang tidak berpuas hati terhadap beberapa keputusan menggugurkan kes mahkamah.

0
Shares
Total Views: 1
Free Malaysia Today
Lim Guan Eng berkata ramai masih tidak berpuas hati dengan keputusan menggugurkan kes berprofil tinggi di mahkamah.

KUALA LUMPUR:
Lim Guan Eng (PH-Bagan) meminta peguam negara yang baharu, Ahmad Terrirudin Salleh memberi penjelasan lanjut dan telus mengenai beberapa kes berprofil tinggi digugurkan sejak akhir-akhir ini.

Beliau berkata permintaan berkenaan bagi meyakinkan rakyat termasuk Majlis Peguam yang tidak berpuas hati terhadap tindakan itu.

“Saya ingin meminta peguam negara yang baru dilantik boleh beri penjelasan lebih lanjut tentang beberapa keputusan dibuat kerana kerajaan perlu akui, masih banyak pihak kurang berpuas hati termasuk majlis peguam.

“Saya rasa kalau penjelasan yang lebih menyeluruh dan telus, akan dapat meyakinkan rakyat tentang apa yang diputuskan oleh peguam negara,” katanya ketika membahaskan Kajian Separuh Penggal RMK12 bagi tempoh 2023-2025 di Dewan Rakyat.

Walaupun tidak menyebut secara spesifik kes digugurkan itu, Guan Eng mungkin merujuk kenyataan minggu lalu Majlis Peguam berhubung keputusan Mahkamah Tinggi melepas tanpa membebaskan (DNAA) Presiden Umno Zahid Hamidi bagi kes Yayasan Akalbudi.

Pada 8 Sept lalu, Presiden Majlis Peguam Karen Cheah berkata Hakim Mahkamah Tinggi dalam kes perbicaraan rasuah Zahid tidak mempunyai banyak pilihan dalam membuat keputusan DNAA.

“Oleh itu, ia tidak meyakinkan bagi Jabatan Peguam Negara (AGC) mengaitkan penarikan balik sepenuhnya kes itu kepada Mahkamah Tinggi dan menggunakannya sebagai alasan dalam kenyataannya dan bukannya memberikan penjelasan terperinci,” katanya.

Lim juga meminta kerajaan mengadakan pemisahan antara pendakwa raya dan peguam negara dalam tempoh setahun, sebagai bukti semangat reformasi “masih membara dalam kerajaan perpaduan” pimpinan Anwar Ibrahim.

“Hanya dengan langkah ini barulah kita dapat yakinkan rakyat bahawa semangat reformasi yang ada dalam kerajaan perpaduan masih membara, bukan seperti dilaungkan pihak tertentu.”

Kerajaan semalam mengumumkan dua jawatankuasa iaitu Pasukan Petugas Khas Kajian Komparatif dan Pasukan Petugas Khas Teknikal dalam mempercepatkan usaha reformasi pengasingan peranan peguam negara dan pendakwa raya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.