
Ketua Polis Kuala Terengganu, Abdul Rahim Md Din berkata pelajar Tingkatan Satu itu dalam laporannya mendakwa didatangi tiga pelajar lelaki di bengkel sekolah yang bertanyakan di mana rakan mangsa.
“Difahamkan, suspek bertanyakan seorang rakan pengadu kerana mahu memukul pelajar berkenaan.
“Pengadu kemudian memberitahu tidak pasti di mana kawannya berada dan meminta suspek beredar serta tidak memukul di kawasan sekolah,” katanya menurut Sinar Harian.
Beliau berkata, suspek kemudian memukul dan menendang muka serta badan pengadu sebelum beredar.
Katanya, kejadian itu disedari guru yang terjumpa pengadu dalam bengkel sebelum membawanya ke hospital untuk mendapatkan rawatan.
Menurutnya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.
Satu klip video 18 saat tular di media sosial hari ini menunjukkan seorang pelajar lelaki dibawa mendapatkan rawatan dipercayai akibat dipukul.
Terdahulu, Pengarah Jabatan Pendidikan Terengganu, Abdul Muie Ngah dilaporkan berkata seorang pelajar Tingkatan Satu mendakwa dipukul pelajar Tingkatan Dua sehingga sesak nafas di sebuah sekolah menengah di Kuala Nerus kelmarin.
Beliau dipetik Sinar Harian berkata, pihaknya masih menyiasat kejadian itu yang dikatakan berlaku dalam kawasan sekolah selepas waktu persekolahan dan pelajar ingin pulang ke rumah.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram