HomeNewsBeritaBusinessLifestyleOpinionWorldSportsPropertyEducationCarzillaGalleryVideosAccelerator

Rangka pelan induk tingkat ekonomi pekerja Bumiputera tak mahir, gesa ahli ekonomi

-

Barjoyai Bardai mencadangkan kerajaan mengadakan sesi libat urus dengan pemikir, cendekiawan Melayu, ahli korporat dan peniaga Bumiputera bagi mendapat maklum balas untuk dibawa ke Kongres Ekonomi Bumiputera.

0
Shares
Total Views: 1
Free Malaysia Today
Barjoyai Bardai berkata, 70% daripada 16.5 juta tenaga kerja merupakan pekerja kurang mahir dengan purata gaji kurang RM2,500. (Gambar Unirazak)

PETALING JAYA:
Seorang ahli ekonomi menggesa kerajaan merangka pelan induk untuk meningkatkan taraf ekonomi pekerja Bumiputera tidak mahir.

Barjoyai Bardai dari Universiti Tun Abdul Razak, berkata 70% daripada 16.5 juta tenaga kerja merupakan pekerja kurang mahir dengan purata gaji kurang RM2,500, di mana mereka perlu dikeluarkan daripada “jerat kelas menengah”.

“Jadi, kita mengalami masalah itu, walaupun sistem pendidikan kita berjaya menonjolkan kecemerlangan pendidikan, tapi masih ada ramai lagi yang dianggap pekerja tidak mahir sehingga tingkat produktiviti rendah dan pendapatan rendah (mereka).

“Persoalannya, bagaimana kita nak meningkatkan mereka, membawa mereka keluar daripada jerat kelas menengah ini?” katanya kepada FMT.

Beliau mengulas penganjuran Kongres Ekonomi Bumiputera dijadualkan Januari depan.

Pada 11 Sept lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata kongres itu diadakan bagi menetapkan hala tuju dan pendekatan baharu agenda Bumiputera lebih adil, saksama, dan inklusif.

Barjoyai berkata penganjuran Kongres Ekonomi Bumiputera amat dinanti-nantikan bagi melihat masa depan golongan itu dan menjangkakan polisi baharu berkait perkembangan ekonomi Bumiputera.

Beliau mencadangkan kerajaan mengadakan sesi libat urus dengan pemikir, cendekiawan Melayu, ahli korporat dan peniaga Bumiputera bagi mendapatkan maklum balas untuk dibawa ke kongres itu “supaya tiada lagi perkara tertinggal”.

Naib Pengerusi Gerakan Keadilan Monetari Malaysia, Ahmed Razman Abdul Latiff berkata dasar lama belum mampu meningkatkan taraf ekonomi Bumiputera, selain mempunyai banyak kelemahan perlu diperbaiki.

“Dasar sebelum ini lebih kepada memfokuskan menghasilkan syarikat-syarikat Bumiputera berskala besar, melahirkan individu Melayu Bumiputera yang mempunyai harta berjuta-juta kerana secara teori, hartawan Melayu ini dapat membantu rakan-rakan atau komuniti Melayu.

“Tetapi strategi itu tidak menjadi, malahan mereka pula minta bantuan kerajaan apabila hadapi masalah.”

Justeru, beliau berharap dasar baharu dapat menangani isu kemiskinan, meningkatkan pendapatan serta kualiti hidup pekerja Bumiputera.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.