
Katanya, amalan itu jika dibiarkan berterusan akan menyebabkan sebahagian besar pelajar terus ketinggalan dalam sistem pendidikan.
Beliau berkata, murid atau pelajar yang kurang atau tidak pandai juga harus diraikan bersama supaya mereka juga berasa disayangi serta penting terutama di hadapan guru-guru.
“Amalan aparteid ini masih berlaku dalam sistem pendidikan kita. Anak-anak yang pandai diraikan tetapi yang tidak pandai tidak diraikan.
“Bagaimana kita boleh rangkumkan mereka semua supaya semua murid berasa diraikan atau disayangi dan semua murid merasakan mereka penting di hadapan guru terutamanya.
“Kalau kita masih mengamalkan ini, kita akan melahirkan generasi yang pandai dan kebanyakan atau sebahagian besar terus ketinggalan dalam sistem pendidikan,” katanya menurut Utusan Borneo ketika menyampai amanat pada satu konvensyen pendidikan dan mesyuarat guru besar Sarawak, di Sibu.
Azhar berkata, keciciran pendidikan dan masalah literasi serta merapatkan kesenjangan pendidikan menjadi antara tujuh fokus Kementerian Pendidikan.
“Kita masih ada jurang yang sangat jauh dalam sistem pendidikan kita. Ada anak-anak yang jauh ke hadapan dan selalu diraikan kerana mendapat tempat pertama atau kedua sementara yang tidak mendapat tempat, tidak diberi perhatian atau dikecam,” katanya.
Beliau ketika mengulas lanjut, berkata ia mengakibatkan mereka enggan ke sekolah atau takut berdepan cikgu.
“Jika boleh kita rangkumkan bersama. Sebab itu dari dahulu, saya tidak percaya dengan sistem pengasingan ini,” katanya.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram