![Free Malaysia Today](/_next/image/?url=https%3A%2F%2Fmedia.freemalaysiatoday.com%2Fwp-content%2Fuploads%2F2023%2F09%2F29f65fbf-amizar-abu-adam-umnopic-240923.jpg&w=3840&q=75)
Amizar Abu Adam berkata isu itu tidak berbangkit kerana seluruh pemimpin akar umbi berikrar akan menyokong pilihan BN.
“Kami telah ‘berbai’ah’ siapa sahaja calon dipilih jadi calon kita akan sokong sepenuhnya. Jadi tak ada isu lagi kononnya berlaku tak puas hati,” katanya kepada FMT.
“Tapi yang cipta isu kata wujud rasa tak puas hati akar umbi kepada calon BN hanya provokasi oleh pihak luar.”
Amizar menolak dakwaan mengatakan beliau tidak diterima pengundi di kampung-kampung, melihat kepada penerimaan penduduk ketika beberapa kali turun kawasan.
Beliau percaya penerimaan positif di kampung-kampung akan membawa kepada sokongan di penempatan Felda juga.
“Penerimaan mereka sangat positif… kebanyakannya ada saudara-mara di Felda jadi mereka selalu berhubung. Jadi tak ada halangan besar untuk BN tarik sokongan.”
Amizar memaklumkan beliau menyasarkan beberapa kawasan Felda yang membentuk sebahagian besar pengundi di DUN Pelangai.
Beliau juga akan turut mengingatkan pengundi supaya berwaspada dengan bekas pemimpin Umno yang membantu kempen Perikatan Nasional.
“Rakyat Pelangai jangan terpedaya dengan dakyah politik bekas pemimpin Umno yang ‘lompat’,” katanya.
Sebelum ini, seorang ahli jawatankuasa Pemuda Umno Bentong memberitahu partinya perlu bekerja keras di kampung-kampung pada PRK Pelangai susulan wujud rasa tidak puas hati dengan pemilihan Amizar.
Muhammad Rafidzi Salleh berkata selain dianggap calon kitar semula, penduduk dari penempatan itu juga mungkin kurang ‘menggemari’ Amizar memandangkan beliau berasal dari kawasan Felda.
Terdahulu, seorang ahli Pemuda Umno Bentong, Haslihelmy DM Zulhasli, dipecat keahlian kerana bertanding sebagai calon bebas menentang BN.
Pada PRU15, Amizar yang berasal dari Felda Chemomoi tewas kepada calon Pakatan Harapan Thomas Su Keong Siong di DUN Ketari, dengan majoriti 120 undi.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram