
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata percakapan Howard dirakam pada jam 3 petang semalam di IPK Perak di Ipoh.
Katanya, siasatan dibuat mengikut Seksyen 112 Kanun Tatacara Jenayah berhubung kenyataan dibuat Howard yang didakwa menghina agama Islam apabila beliau membuat tafsiran al-Quran, ayat 59, surah An Nisa’.
“Kes disiasat Unit Siasatan Jenayah Terkelas D5 Bukit Aman mengikut Seksyen 505 (c) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Kertas siasatan akan dirujuk ke Pejabat Peguam Negara dalam tempoh terdekat,” katanya dalam kenyataan.
Semalam, Howard memohon maaf kerana didakwa membuat tafsiran sendiri ayat al-Quran dalam video tular minggu lalu.
Katanya, permohonan maaf itu antaranya mengambil kira saranan Setiausaha Agung Umno, Asyraf Wajdi Dusuki, menegurnya tidak mengulangi tindakan membuat tafsiran sendiri ayat al-Quran.
Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP itu berkata, sebelum memetik ayat al-Quran menerusi video tular itu, beliau sudah merujuk pihak arif termasuk agamawan.
Sebelum ini, Ketua Polis Perak, Mohd Yusri Hassan Basri, berkata laporan pertama dibuat di Balai Polis Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur, manakala badan bukan kerajaan, Jalinan Bersatu Sahabat (Jabat) Perak turut membuat laporan Khamis lalu.
Jabat Perak membuat laporan kerana menganggap Lee menghina Islam dengan membuat tafsiran sendiri ayat al-Quran, sekali gus menyentuh isu 3R, iaitu agama, raja dan kaum.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram