HomeNewsBeritaBusinessLifestyleOpinionWorldSportsPropertyEducationCarzillaGalleryVideosAccelerator

Rayuan bebas tuduhan rasuah Muhyiddin Februari depan

-

Mahkamah Rayuan turut mengarahkan pihak pendakwaan dan pembelaan memfailkan penghujahan mereka.

23
Shares
Total Views: 1,357
Free Malaysia Today
Bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin sebelum ini dibebaskan daripada empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan berjumlah RM232.5 juta untuk Bersatu. (Gambar Bernama)

PUTRAJAYA:
Mahkamah Rayuan menetapkan 28 dan 29 Februari tahun depan untuk mendengar rayuan pihak pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang membebaskan Muhyiddin Yassin daripada empat tuduhan rasuah berkait program Jana Wibawa.

Tarikh pendengaran itu ditetapkan ketika pengurusan kes hari ini.

Mahkamah turut mengarahkan pihak pendakwaan dan pasukan pembelaan Muhyiddin untuk memfailkan penghujahan masing-masing sebelum 26 Feb 2024.

Pada bulan lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan Muhyiddin untuk membatalkan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan berjumlah RM232.5 juta untuk Bersatu.

Hakim Muhammad Jamil Hussin membuat keputusan itu setelah mendapati keempat-empat pertuduhan tersebut adalah kabur, cacat dan tidak berasas kerana ia tidak menyatakan butiran kesalahan dilakukan.

“Oleh itu, mahkamah membenarkan permohonan pemohon (Muhyiddin) untuk membatalkan keempat-empat pertuduhan berkenaan. Dengan ini, pemohon dilepas dan dibebaskan,” katanya.

Muhyiddin, sebagai perdana menteri (ketika itu) dan presiden Bersatu didakwa menggunakan kedudukan beliau untuk suapan berjumlah RM232.5 juta daripada tiga syarikat iaitu Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd dan Mamfor Sdn Bhd serta Azman Yusoff bagi parti tersebut.

Beliau dituduh melakukan perbuatan itu di Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan di Putrajaya antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021.

Tuduhan-tuduhan berkenaan, berkait program Jana Wibawa, mendakwa Muhyiddin berusaha mendapatkan RM232.5 juta untuk Bersatu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.