HomeNewsBeritaBusinessLifestyleOpinionWorldSportsPropertyEducationCarzillaGalleryVideosAccelerator

Atlet gimnastik wanita Muslim Terengganu ditawar sertai wushu

-

Persatuan Gimnastik Terengganu kini fokus kepada atlet lelaki dan wanita bukan Muslim.

0
Shares
Total Views: 1
Free Malaysia Today
Persatuan Gimnastik Terengganu berkata empat atlet wanita aktif dengan sukan wushu apabila dasar patuh syariah dilaksanakan kerajaan negeri bermula Sukma 2022. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA:
Atlet gimnastik wanita Muslim Terengganu ditawarkan menyertai wushu susulan larangan mereka mengambil bahagian dalam Sukan Malaysia (Sukma).

Presiden Persatuan Gimnastik Terengganu (PGNT), Abdul Razak Mat Amin, berkata setakat ini empat atlet gimnastik wanita aktif dalam sukan wushu apabila dasar patuh syariah dilaksanakan kerajaan negeri pimpinan PAS bermula Sukma 2022.

“Manakala selebihnya ada memilih untuk bersara dan fokus kepada pelajaran,” katanya kepada FMT.

Razak memaklumkan pasukan gimnastik wanita Terengganu ditubuhkan pada 2008, melibatkan 10 ke 12 atlet setiap kali menyertai Sukma dan pernah merangkul pingat gangsa.

Free Malaysia Today
Abdul Razak Mat Amin.

Katanya, susulan larangan itu persatuan kini memberi fokus kepada atlet gimnastik lelaki dan wanita bukan Muslim.

“Cuma jumlah atlet wanita bukan Muslim tak ramai. Kita sudah melahirkan antara atlet gimnastik lelaki terbaik negara, terbaru menerusi Muhammad Sharul Aimy Mohd Kamaru Hisam yang berjaya merangkul pingat gangsa dalam kategori melombol di Sukan Asia Hangzhou minggu lalu.

“Buat masa ini selagi kerajaan (PAS) memerintah kita akur dengan dasar tidak membenarkan atlet gimnastik wanita Muslim sertai Sukma. Kita fokus kepada lelaki dan harap kerajaan negeri beri sokongan penuh kepada sukan gimnastik lelaki Terengganu,” katanya.

Beliau berkata, sebelum ini pihaknya beberapa kali mengadakan perbincangan dengan exco supaya atlet wanita Muslim dibenarkan menyertai sukan itu namun gagal.

“Rugi bila Terengganu tidak mengambil bahagian dalam acara gimnastik wanita Sukma.

“Bakat gimnastik di peringkat sekolah, Majlis Sukan Sekolah Terengganu (MSST) dan Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) tak dapat dibangun dan dikembangkan kerana dasar pematuhan syariah dilaksanakan kerajaan negeri walaupun negeri lain seperti Kelantan membenarkan menyertai acara gimrama wanita,” katanya.

Sebelum ini Exco Pembangunan Belia, Sukan dan NGO, Hishamuddin Karim, berkata kerajaan Terengganu kekal dengan keputusan tidak menyertai acara gimnastik wanita dan gimrama pada Sukma 2024.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.