![Free Malaysia Today](/_next/image/?url=https%3A%2F%2Fmedia.freemalaysiatoday.com%2Fwp-content%2Fuploads%2F2023%2F10%2Ff6ddf441-black-panther-perhilitan-pic-101023-1.jpg&w=3840&q=75)
Ketika dihubungi, Ketua Pengarah Perhilitan Abdul Kadir Abu Hassan menegaskan tiada anak anjing yang cedera dalam operasi itu, manakala semua SOP dipatuhi.
Katanya, Perhilitan biasanya menggunakan kambing hidup untuk menangkap harimau dan harimau kumbang, tetapi umpan itu tidak berjaya kali ini.
“Kami cuba umpan harimau kumbang itu dengan kambing hidup, tetapi gagal.
“Menurut petunjuk dalam kes ini, harimau kumbang itu menyerang anjing, jadi kami menggunakan anak anjing supaya bau dan salakannya menarik haiwan itu,” katanya kepada FMT.
Harimau kumbang hanya akan memasuki perangkap dengan umpan haiwan yang biasa menjadi mangsanya, tambahnya.
Menurutnya, Perhilitan terpaksa menggunakan anak anjing kerana anjing dewasa tidak muat dalam perangkap berkenaan.
Katanya, anak anjing itu terus dilepaskan sebaik harimau kumbang berkenaan ditangkap.
Kadir menjelaskan, sangkar digunakan untuk menangkap harimau kumbang itu mempunyai bukaan berasingan yang membolehkan umpan itu terus dikeluarkan sebaik haiwan liar itu memasuki perangkap.
Pada 18 Sept lepas, Sinar Harian melaporkan empat keluarga di Kampung Ulu Beting, Kuala Pilah, lega selepas seekor harimau kumbang yang berkeliaran di situ berjaya ditangkap Perhilitan, selepas umpan tiga anak anjing selama hampir seminggu mengena.
Beberapa penduduk sebelum itu dilaporkan terkejut apabila melihat harimau kumbang muncul di depan rumah mereka, manakala dua anjing yang menjaga kebun hilang selepas diserang.
Semalam, NGO Persatuan Haiwan Terbiar (SAFM) mempertikai tindakan Perhilitan menggunakan anak anjing hidup sebagai umpan.
Presidennya R Kalaivanan berkata, lebih berperikemanusiaan dan beretika untuk menggunakan daging kambing, ayam, lembu atau ayam belanda berbanding anak anjing.
Kalaivanan turut menggesa Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) menyiasat kejadian itu.
Disoal mengapa daging mentah tidak digunakan sebagai umpan, Kadir berkata, penggunaan umpan hidup ialah prosedur biasa kerana ia menarik haiwan liar.
FMT turut menghubungi JPV untuk mendapatkan komen.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram