HomeNewsBeritaBusinessLifestyleOpinionWorldSportsPropertyEducationCarzillaGalleryVideosAccelerator

Demo solidariti Palestin di KL rentas kepartian

-

Beberapa pemimpin parti pemerintah dan pembangkang kelihatan dalam tunjuk perasaan di Masjid Negara.

0
Shares
Total Views: 1
Free Malaysia Today
Antara pemimpin dan wakil parti pemerintah dan pembangkang yang menyertai tunjuk perasaan untuk Palestin di Masjid Negara.

KUALA LUMPUR:
Tunjuk perasaan solidariti untuk Palestin di Masjid Negara petang tadi merentas garis kepartian dengan kehadiran beberapa pemimpin parti pemerintah dan pembangkang.

Antara yang kelihatan pada himpunan selepas solat Jumaat ini Presiden Amanah Mohamad Sabu, Ketua Pemuda Umno Muhamad Akmal Saleh, dan Ketua Pemuda PKR Adam Adli Abdul Halim, serta Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin dan Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man.

Turut hadir bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.

Ribuan memenuhi perkarangan masjid yang bergema dengan laungan “Free Palestin”, dengan penunjuk perasaan membawa sepanduk mendukung hak rakyat Palestin ke atas tanah air dan kebebasan mereka.

Ketegangan di rantau Asia Barat itu meruncing susulan kempen ketenteraan Israel di Semenanjung Gaza, ekoran serangan militan Hamas dalam wilayah Israel.

Konflik tercetus apabila Hamas melancarkan Operasi “Al-Aqsa Flood” yang turut melibatkan serangan mengejut dari udara dan laut dengan iringan roket, sebagai membalas serbuan ke atas Masjid Al-Aqsa di Baitulmaqdis dan keganasan berterusan peneroka haram Israel terhadap rakyat Palestin.

Israel kemudian melancarkan Operasi Swords of Iron terhadap sasaran-sasaran di Gaza, selain menghentikan bekalan air dan elektrik ke wilayah itu.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata Malaysia akan terus bersama perjuangan rakyat Palestin, dan dana akan disalurkan ke tabung kemanusiaan yang dikendalikan Kementerian Luar Negara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.