
Hamzah Zainudin (PN-Larut) berkata ia termasuk Cukai Barangan Bernilai Tinggi diperkenalkan kerajaan mulai tahun depan yang dikenakan ke atas produk seperti barang kemas dan jam tangan berdasarkan nilai ambang harga barangan.
Tegasnya, kerajaan juga harus memperincikan kutipan Cukai Keuntungan Modal (10%), peningkatan duti eksais bagi minuman bergula sebanyak 10 sen per liter, pengapungan kawalan harga ayam dan telur serta, dan penyasaran subsidi diesel.
Menurutnya, pengumumannya tanpa definisi dan mekanisme nilai anggaran hasil serta penjimatan daripadanya memberi gambaran seolah-olah kerajaan melaksanakan dasar ‘umum dahulu, nanti baru fikir’.
“Penjelasan serta perincian terhadap nilai anggaran hasil dan penjimatan kerajaan ini penting bagi membolehkan rakyat menilai kewajaran kerajaan melaksanakan langkah-langkah tersebut yang pastinya memberikan kesan terhadap kehidupan seharian mereka,” kata Hamzah di Dewan Rakyat.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2024 di Parlimen mengumumkan pelaksanaan Cukai Barangan Bernilai Tinggi yang dikenakan pada kadar 5% hingga 10%.
Hamzah turut mendakwa peningkatan kadar Cukai Jualan dan perkhidmatan (SST) kepada 8% akan menyebabkan kenaikan harga barang dalam rantaian bekalan.
“Adakah kerajaan sudah membuat perbandingan analisis kos manfaat antara pelaksanaan GST (Cukai Barang dan Perkhidmatan) pada kadar lebih rendah daripada 6% berbanding meningkatkan SST kepada 8%,” soalnya.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram